
TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Islam Islam (IRGC) giat membina kekuatan tentera bagi menhadapi peperangan dengan Amerika Syarikat (AS) dengan menghasilkan semula lebih banyak peluru berpandu dan dron berbanding yang digunakan sepanjang perang ketika stok senjata Amerika Syarikat (AS) dilaporkan semakin berkurangan.
Jurucakap IRGC, Mohebbi Hussein mendedahkan perkara itu dengan menyatakan pihaknya turut mengumpul dan memproses data dari satelit, dron, radar, sensor dan laporan risikan di lapangan bagi membantu membuat keputusan operasi.
Beliau menegaskan bahawa teknologi canggih telah mengurangkan tempoh membuat keputusan, menetapkan sasaran dan melancarkan tembakan daripada beberapa minit kepada hanya beberapa saat.
“Dalam perang baru-baru ini, Amerika memasuki medan perang menentang angkatan bersenjata Iran dengan segala keupayaan dan teknologinya, tetapi akhirnya dikalahkan,” ujarnya.
Menyentuh mengenai keupayaan peluru berpandu Republik Islam Iran, beliau mendakwa bahawa sebahagian peluru berpandu IRGC mempunyai keupayaan mengubah arah ketika sedang terbang.
Ia sekali gus membolehkan peluru berpandu tersebut melepasi sistem pertahanan udara musuh.
Beliau menambah bahawa walaupun sasaran utama peluru berpandu telah ditetapkan, Iran masih mempunyai keupayaan untuk mengubah trajektori penerbangan senjata itu ketika ia sedang menuju ke sasaran dan menetapkan sasaran kedua.
Dalam perkembangan berasingan, tentera AS berkata, sebuah pesawatnya melepaskan tembakan ke arah kapal tangki minyak yang tidak membawa muatan pada Rabu ketika ia cuba memecahkan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran.
Bagaimanapun, kapal itu tidak lagi meneruskan pelayaran ke Iran, kata Markas Pusat AS (CENTCOM) dalam hantaran di X dan mengenal pasti kapal tangki itu sebagai M/T Belma yang mengibarkan bendera Curaçao.
Ia merupakan kali pertama AS menghentikan sebuah kapal secara paksa sejak sekatan terhadap pelabuhan Iran dikuatkuasakan semula pada Selasa selepas Iperjanjian ‘damai’ dengan Teheran ‘terhenti.’
Sebelum ini, tentera AS mengenakan sekatan terhadap pelabuhan Iran dari 13 April hingga 18 Jun, dan dalam tempoh itu mereka melumpuhkan sembilan kapal serta mengubah haluan lebih 140 kapal, menurut CENTCOM.
Sekatan laut itu dilaksanakan semula selepas kegagalan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Iran dan AS pada Jun selepas gencatan senjata berkuatkuasa pada 8 April sebelum musnah pada 8 Julai lalu.
Tempoh 60 hari memorandum berkenaan dijangka berakhir minggu depan, manakala Pakistan dan Qatar terus berusaha menjadi pengantara untuk membawa kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan. Bagaimanapun, retorik Teheran semakin keras sejak minggu lalu.
Dalam pada itu, seorang lagi jurucakap IRGC, Hossein Mohebbi memberi amaran jika Iran diancam lagi, rangkaian tenaga, loji janakuasa dan infrastruktur berkaitan internet di seluruh dunia boleh menjadi sasaran.
Beliau turut mendakwa AS kini tidak mempunyai kapal perang di Teluk Parsi, berbanding sekitar 30 hingga 40 kapal sebelum perang bermula.
Pemimpin Agung Iran, Mojtaba Khamenei, minggu ini melantik enam tokoh baharu ke jawatan kanan ketenteraan dalam usaha memperkukuh penyelarasan struktur angkatan bersenjata negara itu.
The post AS kalah dengan teknologi perang Iran appeared first on Utusan Malaysia.






