AS Komited Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia - Khaled Nordin
KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) komited untuk terus memperkukuh hubungan rapat dengan Malaysia termasuk dalam sektor pertahanan, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menteri Pertahanan itu berkata perkara tersebut antara disentuh Duta AS ke ASEAN Kevin Kim dalam kunjungan hormat sempena Persidangan Tahunan Ke-37 Undang-Undang dan Operasi Ketenteraan (MILOPS) yang berlangsung di ibu negara hari ini.
“AS akan sentiasa memberi perhatian kepada meningkatkan dan memantapkan lagi hubungan rapat antara kedua-dua negara termasuk dalam sektor pertahanan,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat itu.
As Komited Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia
Beliau berkata pertemuan itu lebih tertumpu kepada usaha mengukuhkan hubungan sedia ada dan tidak melibatkan perbincangan mengenai perkara-perkara dasar.
Selain Kevin, Mohamed Khaled turut menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan Singapura Joseph Leong.
Baca juga:
AS Lancar Serangan Terhadap Iran, Dakwa Balas Cubaan Serang Tenteranya
Trump Batal Serangan Ke Atas Iran Demi Rundingan Damai
-- LAGI
KHALED-KUNJUNGAN 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Mengulas pertemuannya dengan Kao, beliau berkata kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai cabaran dihadapi ASEAN serta usaha memperkukuh sumbangan sektor pertahanan dalam mengekalkan prinsip Kepusatan ASEAN, keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau.
Beliau berkata mereka turut sependapat bahawa sektor pertahanan mempunyai peranan penting dalam menyokong matlamat ASEAN serta memperkukuh kerjasama antara negara anggota.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata Joseph, yang baru dilantik Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan Singapura, menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Malaysia.
Beliau berkata kerjasama berkenaan bukan sahaja melibatkan hubungan dua hala malah turut merangkumi kerjasama pelbagai hala di peringkat ASEAN serta menerusi Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA).
Persidangan Tahunan Ke-37 MILOPS berlangsung di Kuala Lumpur mulai hari ini hingga 6 Ogos, menghimpunkan pegawai kerajaan dan wakil ketenteraan daripada lebih 30 negara bagi membincangkan cabaran keselamatan serantau serta memperkukuh kerjasama dalam aspek undang-undang dan operasi ketenteraan.






