
PETALING JAYA – Malaysia dan Kemboja komited memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), industri halal dan keselamatan makanan bagi manfaat bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dizahirkan ketika beliau menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn yang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula hari ini.
Menurut beliau, lawatan tersebut diadakan bersempena Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) Malaysia-Kemboja yang dijadual berlangsung esok.
“Ia juga menjadi landasan penting menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia dan Kemboja pada tahun 2027 sekali gus mencerminkan eratnya hubungan persahabatan serta perkongsian strategik yang berkekalan antara kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, kedua-dua negara turut beriltizam memperkukuh kerjasama dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan selaras dengan kepentingan keselamatan serantau.
“Sebagai negara anggota ASEAN, Malaysia dan Kemboja berkongsi tanggungjawab untuk memelihara keamanan, memperkukuh perpaduan serantau dan merealisasikan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 demi masa depan yang lebih makmur buat seluruh rakyat di rantau ini.
“Moga hubungan Malaysia-Kemboja terus diperkukuh, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama yang membawa manfaat bersama kepada kedua-dua negara dan rakyatnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia-Kemboja perkukuh kerjasama menjelang ulang tahun ke-70 appeared first on Kosmo Digital.





