
Gelagat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelang majlis pernikahannya bersama pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, mencuri perhatian apabila seorang individu berkongsi kisah di sebalik tugas luar jangka yang dilakukannya pada hari bersejarah pasangan itu.
Menerusi perkongsian di Threads, Shairy Hanapiah mendedahkan bahawa dia pada asalnya bukan sebahagian daripada senarai dulang boys dan tidak terlibat dalam persiapan majlis pernikahan yang berlangsung di Menara Merdeka 118 itu.
Kerusi urut hantaran Syed Saddiq buat Bella
Bagaimanapun, segalanya berubah apabila dia menerima panggilan daripada Presiden parti MUDA, Amira Aisya sekitar jam 11.25 malam.
Menurut Shairy, dia diminta membantu pasukan dulang boys bagi mengalihkan kerusi urut yang diperlukan untuk majlis berkenaan.

"Shairy esok boleh tolong team dulang boys tak? Perlukan tambahan untuk tolak kerusi urut. Nanti I send gambar kerusi tu," demikian mesej yang diterimanya.
Shairy berkata, dia tergelak sendiri sebaik sahaja menerima gambar kerusi urut tersebut menerusi aplikasi WhatsApp, malah dirinya tidak menyangka permintaan itu datang daripada Syed Saddiq.

Tak sempat rehearsal, semua buat secara spontan
Lebih mencuit hati, Shairy mendedahkan bahawa Syed Saddiq tidak mahu menggunakan model tiruan atau gambar semata-mata, sebaliknya mahu kerusi urut sebenar digunakan.
Katanya, dia yang sentiasa bersedia untuk membantu akhirnya bersetuju, lebih-lebih lagi bagi melancarkan urusan majlis pasangan bahagia berkenaan.
Shairy turut mengakui bahawa dirinya berasa berdebar ketika menjalankan tugas membawa kerusi urut tersebut, kerana bimbang tersangkut di tengah-tengah laluan ketika majlis berlangsung.
"Janganlah tersangkut kat tengah-tengah laluan tu nanti. Tengah live ni, malu woo," tulisnya.
Tambahnya, dia juga tidak sempat menyertai sebarang latihan raptai dan segala-galanya dilakukan secara spontan.

Syukur semuanya berjalan lancar
Segala kebimbangan Shairy berakhir apabila tugasan itu berjaya dilaksanakan dengan lancar.
Shairy menyifatkan pengalaman tersebut sebagai satu kenangan yang pastinya tidak dapat dilupakan, apatah lagi dia pada awalnya langsung tidak menyangka akan terlibat dalam persiapan majlis berkenaan.
"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar... dan satu Malaysia terhibur, gelak," tulisnya lagi.
Dalam perkongsian sama, Shairy turut mengucapkan tahniah kepada Syed Saddiq dan Bella Astillah atas pernikahan mereka, selain berterima kasih kepada Amira atas peluang untuk membantu.
Syed Saddiq dan Bella Astillah telah selamat disatukan sebagai suami isteri pada pagi Sabtu dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Baca juga:





