Kemunculan sebuah kerusi urut sebagai hantaran pernikahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada penyanyi Bella Astillah mencuri perhatian apabila rakan pasangan berkenaan, Shairy Hanapiah tampil mendedahkan kisah di sebalik persiapan membawa masuk barangan tersebut.
Menerusi perkongsian di Threads, Shairy menjelaskan bahawa dia pada asalnya tidak tersenarai sebagai pembawa dulang hantaran atau dulang boys, malah tidak terlibat dalam urusan persiapan majlis pernikahan pasangan berkenaan.
Bagaimanapun, situasi berubah apabila dia menerima panggilan daripada Amira Aisya pada jam 11.25 malam sebelum majlis berlangsung bagi meminta bantuan tambahan untuk menolak sebuah kerusi urut yang dijadikan hantaran.
“Shairy esok boleh tolong team dulang boys tak? Perlukan tambahan untuk tolak kerusi urut. Nanti i send gambar kerusi tu,” kongsinya mengenai permintaan tersebut.

Menurut Shairy, dia tidak dapat menahan ketawa sebaik sahaja menerima gambar kerusi urut berkenaan menerusi WhatsApp kerana tidak menyangka Syed Saddiq mahu menggunakan kerusi urut sebenar dan bukannya replika atau gambar sebagai simbolik hantaran.
“Masa terima gambar kat whatsapp, saya dah tergelak sendiri. Apa gilalah Syed Saddiq ni. Hahaha.
“Dia tak nak guna mock model or gambar. Dia nak tunjuk the real one!” katanya.
Walaupun permintaan dibuat pada saat akhir, Shairy tetap bersetuju untuk membantu bagi memastikan perjalanan majlis pernikahan Syed Saddiq dan Bella berlangsung dengan lancar.
Namun, dia mengakui berasa gementar kerana bimbang kerusi urut tersebut tersangkut ketika ditolak masuk, lebih-lebih lagi apabila majlis berkenaan disiarkan secara langsung.
“Perkara paling debar dalam hati tadi, ‘janganlah aku tersangkut kat tengah-tengah laluan tu nanti. Tengah live ni, malu woo’,” katanya.
Kredit Foto: Gintell Malaysia
Lebih menarik, Shairy turut mendedahkan bahawa dia tidak berkesempatan menjalani sebarang sesi latihan sebelum melaksanakan tugas berkenaan kerana penglibatannya diputuskan secara spontan.
“Saya tak sempat join any rehearsal pun. Semuanya impromptu!
“And the rest is history,” katanya.
Perkongsian Shairy itu sekali gus menjelaskan kisah di sebalik tabir kemunculan kerusi urut sebagai hantaran pernikahan Syed Saddiq dan Bella, termasuk persiapan pada saat akhir yang memerlukan bantuan tambahan daripada pasukan pembawa hantaran.
Sumber: Threads shairy_hanapiah








