
Dalam tempoh hanya beberapa hari, kualiti udara yang sebelum ini berada pada tahap sederhana di kebanyakan kawasan, tiba-tiba kembali menjadi tidak sihat.
Pada Selasa lalu, sebanyak 39 kawasan seluruh negara merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.
Semalam, bilangan kawasan yang mencatatkan IPU tidak sihat menurun kepada 19 lokasi setakat pukul 3 petang, namun jerebu boleh kembali pada bila-bila masa selagi masalah utama tidak selesai.
Punca utama jerebu selama ini ialah kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia.
Faktor rentas sempadan memainkan peranan besar ketika musim panas dan kering. Tiupan angin membawa asap dari kawasan kebakaran ke negara jiran.
Namun, dalam kita menyalahkan asap dari negara jiran, jangan sampai kita lupa melihat apa yang berlaku di halaman rumah sendiri.
Masih ada segelintir masyarakat yang membakar daun kering, kotak, kertas dan plastik sehingga jiran terpaksa menghidu asap.
Paling menghairankan, ada yang masih berfikir cara begitu hanya masalah kecil kononnya, ‘bakar sedikit saja’.
Memang benar, satu rumah mungkin tidak menghasilkan asap sebanyak sebuah hutan yang terbakar, tetapi kalau satu taman perumahan, satu kampung atau satu bandar melakukan perkara sama, adakah asap itu akan hilang begitu sahaja?
Lebih malang apabila pembakaran sampah dilakukan terang-terangan di kawasan perumahan.
Yang membakar mungkin rasa lega kerana sampah sudah hangus, tetapi orang di sekeliling pula terpaksa menanggung asapnya.
Persoalannya, di manakah penguatkuasaan? Adakah perlu menunggu video pembakaran sampah menjadi tular terlebih dulu barulah tindakan diambil?
Asap kenderaan, pelepasan industri dan pelbagai sumber pencemaran lain turut menyumbang kepada kualiti udara. Semua pihak ada bahagian masing-masing untuk diperbaiki.
Begitu juga kawasan yang berulang kali berdepan kebakaran. Johan Setia di Klang misalnya sering dikaitkan dengan kejadian kebakaran kawasan belukar dan hutan ketika musim panas serta kering sehingga timbul persepsi seolah-olah kebakaran di situ sudah menjadi ‘acara tahunan’.
Kalau setiap tahun masalah sama berulang, persoalannya mudah, apakah yang telah dilakukan selama ini untuk menanganinya?
Malaysia sememangnya terkesan dengan jerebu rentas sempadan, tetapi kita juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan tiada pencemaran tambahan yang berpunca daripada aktiviti sendiri.
Jerebu bukan sekadar persoalan siapa yang harus dipersalahkan. Ia adalah persoalan kesihatan, alam sekitar dan sikap masyarakat.
Jangan sampai kita sibuk mengambil gambar langit yang berkabus, mengeluh tentang asap dari Indonesia dan marah kepada pihak berkuasa, namun pada masa yang sama, jiran sebelah rumah masih membakar sampah di halaman.
The post Asap depan rumah buat-buat tak nampak appeared first on Kosmo Online.





