Maut dipanah petir: Bapa sempat pangku anak

12 Oct 2026 • 10:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Maut dipanah petir: Bapa sempat pangku anak

PASIR MAS: Seorang bapa hanya mampu memangku anaknya yang berusia 14 tahun selepas Muhammad Ziad Zikri Abdul Hadi maut dipanah petir ketika dalam perjalanan pulang selepas memancing bersama tiga rakan dan sepupunya di Kampung Tasek Berangan di sini petang tadi. 

Abdul Hadi Abdul Ghani, 60, berkata, dia memangku anak bongsunya itu sejurus tiba di lokasi kejadian sebelum membawanya ke Hospital Pasir Mas.

“Saya tidak sempat mengajarnya mengucap kerana arwah sudah meninggal dunia. Arwah seorang anak yang rajin dan tiada perubahan pelik kebelakangan ini.

“Cuma semalam saya sempat berpesan kepadanya supaya rajin mengaji al-Quran,” katanya ketika ditemui pemberita di sini sebentar tadi.

Abdul Hadi berkata, dia reda dengan pemergian anak bongsu daripada lima beradik itu.

Sementara itu, sepupu mangsa, Mohd. Haziq Qoyyum Rosli, 12, berkata, ketika kejadian, dia bersama arwah dan dua lagi rakan mereka dalam perjalanan dari bendang tempat memancing menuju ke tempat motosikal diletakkan untuk pulang ke rumah.

Katanya, arwah pada mulanya enggan pulang kerana masih seronok memancing, namun akhirnya akur selepas dua kali diajak pulang berikutan hujan semakin lebat.

“Kami hampir sampai di tempat parkir motosikal apabila tiba-tiba kilat menyambar arwah yang ketika itu membawa pancingnya.

“Saya bersama dua lagi rakan yang berada di belakang arwah turut rebah sebaik sahaja kilat menyambar. Saya sempat melihat tubuh arwah mengeluarkan asap,” katanya.

Mohd. Haziq berkata, dia kemudian bangun dalam keadaan terpinga-pinga sebelum pulang ke rumah untuk meminta pertolongan selepas melihat arwah terbaring kaku di tanah.

“Saya sangka arwah pengsan, tetapi apabila ahli keluarga lain tiba di tempat kejadian untuk menyelamatkannya, arwah sudah meninggal dunia,” katanya.-UTUSAN

 

The post Maut dipanah petir: Bapa sempat pangku anak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved