
SAYU kisah pemergian tiga beradik di Jalan Parit Haji Sirat, Pontian, Johor, yang pergi buat selama-lamanya dalam satu kejadian menyayat hati.
Keterujaan untuk ke sekolah walaupun sesi persekolahan di seluruh Johor ditutup selama dua hari susulan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu rupanya menjadi detik terakhir buat tiga beradik berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, tiga beradik, Nor Daniel Aiman, 18, Nor Daniel Fikri Norlizan, 11, dan Puteri Naufal Raisya, 8, yang menaiki sebuah motosikal maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori.
Pilu hati ibu, Julaiha Munaji, 43, menceritakan momen terakhir Puteri dan Fikri beria-ia untuk ke sekolah.
Difahamkan, ibu kepada enam cahaya mata itu terdahulu sudah melarang Fikri dan Puteri kerana sekolah di seluruh negeri Johor ditutup akibat jerebu.
Namun, kedua-duanya tetap berkeras hingga menyebabkan abang mereka, Aiman, membawa mereka ke sekolah bagi membuktikan sekolah sememangnya ditutup.
“Saya dah beritahu tak payah pergi sekolah, tapi mereka beria-ia nak pergi juga," katanya.

Mengimbas kembali momen terakhir, Julaiha berkata tiada sebarang perubahan pelik ditunjukkan kedua-dua anaknya sebelum kejadian.
Malah, Fikri sempat membasuh kasutnya, manakala Puteri pula menyiapkan kerja sekolah seperti biasa.
“Fikri ada beritahu nak main bola. Dia siap basuh kasut bersih-bersih dan letak di situ sebab nak pakai nanti.
“Anak bongsu, Puteri pula buat kerja sekolah pada sebelah malam tidur sekejap kemudian sambung lagi sampai habis ,” katanya.
Menurut Julaiha, ketiga-tiga beradik itu juga masih tidur bersama keluarga pada malam sebelum kejadian.
Menceritakan keakraban mereka, katanya Aiman yang merupakan anak ketiga dalam keluarga itu seorang yang pendiam, namun begitu rapat dengannya dan banyak membantu menguruskan adik-adiknya.
“Aiman jenis pendiam, tapi kalau dengan saya dia suka bergurau. Mereka semua rapat.

"Empat bulan lepas saya kemalangan selepas hantar anak ke sekolah. Aiman juga banyak tolong saya hantar adik-adik ke sekolah," ujarnya.
Lebih memilukan, kamera litar tertutup (CCTV) sebuah sekolah dipercayai merakam motosikal dinaiki tiga beradik berkenaan tiba di hadapan sekolah sebelum berpatah balik selepas mendapati sekolah ditutup.
Julaiha berkata, dia dimaklumkan mengenai rakaman CCTV berkenaan selepas kejadian.
"Sekolah rendah dengan rumah cuma dua kilometer. Ada orang yang hendak pergi kerja datang beritahu motosikal dinaiki anak saya kemalangan dekat depan rumah. Jaraknya cuma 200 meter.
"Suami dan anak sulung terus pergi ke tempat kejadian dan anak-anak kemudian dibawa ke Hospital Pontian," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussein Mion Hussian mengesahkan kejadian berkenaan.
Sumber: Sinar Harian






