'Assalamualaikum Irene Sofiya' - Guru tadika ziarah pusara, titip doa buat Allahyarham

10 Oct 2026 • 10:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Assalamualaikum Irene Sofiya' - Guru tadika ziarah pusara, titip doa buat Allahyarham
Antara gambar yang dikongsikan menunjukkan guru-guru tersebut meluangkan masa berada di pusara Allahyarham Irene Sofiya (gambar kecil).

YONG Peng - "Assalamualaikum Irene Sofiya."

Demikian ungkapan yang dikongsikan bekas guru tadika kepada Allahyarham Irene Sofiya, mesra dipanggil Teacher Aini, menerusi hantaran di aplikasi Threads.

Menerusi perkongsian menerusi akaun norainirais itu, beliau bersama beberapa guru tadika hadir menziarahi pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Parit Arshad, selain menyiram air, meletakkan bunga dan menitipkan doa buat arwah.

"Teacher Aini dan cikgu-cikgu Tadika datang ziarah Irene Sofiya. Semoga ALLAH menempatkan Irene Sofiya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah," katanya.

Beberapa keping gambar yang dikongsikan menunjukkan guru-guru terbabit meluangkan masa berada di pusara Allahyarham.

Selain itu, mereka turut bertemu dan berbual bersama keluarga Irene Sofiya bagi memberikan sokongan emosi kepada waris yang sedang berdepan ujian kehilangan insan tersayang.

Kunjungan berkenaan menggambarkan ingatan mendalam para guru terhadap Allahyarham selepas pemergiannya, yang mana hantaran itu turut menyentuh hati dan mendapat reaksi simpati daripada warga netizen.

Sebelum ini, media melaporkan Irene Sofiya, 16, meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah dewan sekolah di Yong Peng pada 3 Oktober lalu.

Hasil ujian bedah siasat mendapati punca kematian remaja berkenaan disebabkan oleh trauma tumpul pada bahagian kepala.

Susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditahan pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved