
PETALING JAYA – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menziarahi pusara Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada hari ini.
Pada masa sama, Abdul Hadi turut menitipkan doa agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah, mengampuni segala dosanya, menerima segala amal kebajikannya.
“Semoga Allah SWT juga mempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang beriman, beramal soleh dan dikurniakan tempat yang mulia di sisi-Nya. Al-Fatihah,” katanya menerusi media sosial.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, pusara Allahyarham Tun Siti Hasmah terus menjadi tumpuan orang ramai.
Selain membaca surah Yasin, ada yang berkesempatan menyiram air mawar sebagai tanda kasih dan penghormatan selain ada di antara pelawat menitiskan air mata.
Allahyarham Tun Siti Hasmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 28 September lalu.
Tun Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak. – KOSMO! ONLINE
The post Abdul Hadi ziarah pusara Tun Siti Hasmah appeared first on Kosmo Online.






