Astro Dan Liga Perdana Inggeris Bekerjasama Untuk Mengekang Risiko Sekuriti Yang Disebabkan Penstriman Haram

LocalFootball
21 Oct 2026 • 9:10 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Kempen Boot Out Piracy oleh syarikat penyiaran televisyen tempatan Astro dan Liga Perdana Inggeris telah kembali di Malaysia untuk meningkatkan kesedaran di kalangan peminat bola sepak tentang risiko keselamatan siber yang serius apabila mereka menggunakan perkhidmatan penstriman haram untuk menonton siaran langsung perlawanan-perlawanan bola sepak tersebut.

Kali ini, kempen tersebut memaparkan barisan pemain bola sepak terkenal di Liga Perdana Inggeris, termasuklah kapten pasukan Liverpool, Virgil van Dijk, pemain penyerang Manchester United, Bryan Mbeumo dan pemain Arsenal, Eberechi Eze untuk memperlihatkan risiko keselamatan siber yang serius berkaitan penggunaan perkhidmatan penstriman haram.

Image from: Astro Dan Liga Perdana Inggeris Bekerjasama Untuk Mengekang Risiko Sekuriti Yang Disebabkan Penstriman Haram

Siri kempen video ini akan mengetengahkan bahaya sebenar penstriman haram kepada pengguna, termasuk penipuan pancingan data (phishing), perisian hasad (malware), kecurian identiti dan penipuan kewangan. Kempen ini akan menggalakkan peminat Liga Perdana Inggeris untuk berwaspada terhadap isu-isu yang boleh dihadapi mereka apabila menggunakan platform penstriman haram sebegini, seperti muat-turun fail yang tidak disahkan, tawaran habuan atau kewangan yang mencurigakan, permintaan untuk maklumat peribadi dan sensitif dan tetingkap pop-up rawak.

Tontonan melalui perkhidmatan penstriman haram seringkali dikaitkan dengan isu pelanggaran hak cipta, dan walaupun perkara tersebut adalah benar, tontonan melalui platform-platform tersebut juga memperlihatkan banyak isu serius yang lain, khususnya berkaitan dengan risiko keselamatan siber untuk pengguna.

Image from: Astro Dan Liga Perdana Inggeris Bekerjasama Untuk Mengekang Risiko Sekuriti Yang Disebabkan Penstriman Haram

Kajian bebas yang dijalankan oleh pakar keselamatan siber, Profesor Paul Watters, mendedahkan bahawa:

  • Secara purata, laman web penstriman haram didapati 17.3 kali lebih berisiko berbanding laman web arus perdana.
  • 66 peratus daripada laman web yang dinilai telah diklasifikasikan sebagai mempunyai risiko keselamatan siber yang tinggi atau kritikal.
  • Lebih separuh (54 peratus) daripada laman web yang dinilai menunjukkan aktiviti mencurigakan yang dikaitkan dengan penipuan, pancingan data atau perbuatan berniat jahat.
  • Hampir separuh daripada laman web cetak rompak (44%) mendedahkan pengguna kepada iklan berbahaya dan saluran yang membawa kepada penipuan, sekali gus meningkatkan risiko menjadi sasaran penjenayah siber.
Image from: Astro Dan Liga Perdana Inggeris Bekerjasama Untuk Mengekang Risiko Sekuriti Yang Disebabkan Penstriman Haram

Pengarah Undang-Undang – Penguatkuasaan Liga Perdana Inggeris, Stefan Sergot berkata: “Penstriman haram mungkin dilihat sebagai cara percuma dan mudah untuk menonton bola sepak, tetapi kajian ini menunjukkan bahawa perkhidmatan tersebut boleh mendedahkan pengguna kepada pelbagai risiko, termasuk penipuan, kecurian identiti, perisian hasad dan ancaman dalam talian yang lain.

“Melalui kempen Boot Out Piracy, kami mahu meningkatkan kesedaran peminat tentang risiko penstriman haram dan menggalakkan mereka menikmati aksi Liga Perdana Inggeris dengan selamat, pada kualiti terbaik menerusi perkhidmatan yang sah.

“Kami akan terus bekerjasama dengan rakan penyiar, platform media sosial dan pihak berkuasa untuk membanteras penstriman haram, di samping memastikan peminat lebih memahami risiko dan ancaman di sebalik perkhidmatan tersebut.”

Kempen Boot Out Piracy akan dipaparkan menerusi saluran penyiaran dan platform media sosial di Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam dalam beberapa bulan akan datang, dengan sokongan rakan penyiar Liga Perdana Inggeris, pihak berkuasa dan pihak berkepentingan lain.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved