Astro fokus tarik pelanggan baharu, kurangkan kos operasi

03/06/2025 - 11:10
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 3 Jun - Astro Malaysia Holdings Bhd akan memberi tumpuan kepada usaha menarik pelanggan baharu, mengembangkan perniagaan sampingan dan mengurangkan kos operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Euan Smith berkata, beliau yakin jumlah pelanggan TV berbayar Astro akan stabil tidak lama lagi kerana produk yang ditawarkan kini lebih baik dan kandungan tempatan semakin digemari.
"Pada tahun kewangan 2025 yang berakhir 31 Januari lalu, kami merekodkan pertumbuhan tertinggi pelanggan berbangsa Cina dalam tempoh empat tahun dan ramai pelanggan lama juga kembali melanggan," katanya dalam laporan tahunan syarikat.
Smith turut menjelaskan, usaha menarik pelanggan di kawasan luar bandar seperti Sekinchan dan Pandamaran juga membantu peningkatan bilangan pelanggan.
Menurutnya, kepakaran Astro dalam penerbitan dan kerjasama dengan industri kreatif tempatan membantu syarikat menghasilkan pelbagai jenis rancangan yang digemari ramai, seperti program siaran langsung, drama tempatan, sukan, berita dan rancangan kanak-kanak.
"Kami juga memperkenalkan format baharu dan kandungan menarik yang melibatkan penonton secara menyeluruh, bukan hanya di TV, tetapi juga di radio, acara luar dan platform digital," jelasnya.
Selain itu, Smith berkata, perniagaan tambahan seperti Enterprise, Astro Fibre, iklan terarah dan platform dalam talian, Sooka menunjukkan perkembangan positif.
"Kami kini memberi tumpuan untuk meningkatkan cara kami menjalankan setiap cabang perniagaan ini," ujarnya.
Beliau menambah, keupayaan Astro melaksanakan kempen di TV, radio, platform digital dan acara fizikal membolehkan syarikat menarik perhatian pelbagai jenis penonton di Malaysia.
Untuk bersaing dalam pasaran yang semakin mencabar, Smith berkata, Astro kini menggunakan iklan yang lebih kreatif, seperti menggunakan babak daripada rancangan dan filem sebagai bahan iklan.
Beliau berkata, kaedah tersebut berjaya menarik pelaburan dan tajaan daripada jenama terkenal, termasuk untuk filem seperti The Experts dan Keluang Man.
Dari segi kos, beliau berkata, perbelanjaan keseluruhan syarikat turun kira-kira 8% pada FY25, walaupun syarikat terus melabur untuk menarik pelanggan dan mengembangkan perniagaan baharu.
"Langkah proaktif seperti pengurangan kakitangan selepas skim pemisahan sukarela tahun lalu membantu kami kekal bersaing," katanya.
Beliau juga menjelaskan, penjimatan kos turut dicapai melalui penggunaan teknologi baharu, penamatan satelit M3a, serta penghantaran kandungan melalui perkhidmatan On Demand yang mengurangkan penggunaan kapasiti dan kos transponder. - DagangNews.com
standard
