Impak bulan puasa ramai tidak merokok siang hari, untung bersih BAT Malaysia merosot 22.3%

LocalBusiness & Finance
3 Jun 2025 • 2:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Impak bulan puasa ramai tidak merokok siang hari, untung bersih BAT Malaysia merosot 22.3%

image is not available

03/06/2025 - 14:33

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Jun - Bulan puasa yang menyebabkan ramai tidak merokok pada waktu siang memberi kesan ketara kepada prestasi kewangan British American Tobacco (Malaysia) Bhd (BAT Malaysia), apabila untung bersih syarikat itu merosot 22.3% kepada RM23.3 juta bagi 1QFY25.

Ia sekali gus mencatat prestasi suku tahunan paling lemah dalam tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun.

Pendapatan syarikat turut menyusut 22% kepada RM322 juta, dipengaruhi oleh penurunan 20.6% dalam jumlah jualan akibat faktor bermusim dan kedatangan bulan Ramadan yang lebih awal.

Walaupun jenama utama syarikat, Dunhill, mencatat peningkatan 0.7% dalam pegangan pasaran, penurunan dalam segmen lain menyebabkan pegangan pasaran keseluruhan syarikat merosot sebanyak 0.6%.

Namun, margin keuntungan kasar meningkat 2.9% hasil daripada gabungan produk yang lebih baik.

Syarikat turut mengumumkan dividen interim terendah dalam tempoh 20 tahun, iaitu sebanyak 7.5 sen sesaham melibatkan jumlah RM21.5 juta.

Keuntungan bersih suku ke suku juga merosot lebih separuh daripada RM49 juta sebelum ini, manakala pendapatan turut jatuh daripada RM653 juta.

Pengarah Urusan BAT Malaysia, Nedal Salem berkata, syarikat sedang berdepan cabaran besar termasuk pasaran gelap rokok yang berterusan.

"Bagaimanapun syarikat kekal optimis terhadap prestasi syarikat untuk baki tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, BAT Malaysia memaklumkan akan menghentikan jualan produk vape Vuse secara berperingkat mulai suku ketiga tahun ini sebagai persediaan menghadapi peraturan baharu yang akan bermula pada 1 Oktober 2025. - DagangNews.com

standard