MMAG pertahan cadangan jual pesawat rugi RM12.69 juta bagi elak kos selenggaraan AS$2.5 juta

Business & Finance
21 Oct 2026 • 6:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MMAG pertahan cadangan jual pesawat rugi RM12.69 juta bagi elak kos selenggaraan AS$2.5 juta Image from: MMAG pertahan cadangan jual pesawat rugi RM12.69 juta bagi elak kos selenggaraan AS$2.5 juta johardy21/10/2026 - 18:33 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Okt - MMAG Holdings Berhad mempertahankan cadangan menjual sebuah pesawat dengan anggaran kerugian RM12.69 juta kurang dua tahun selepas dibeli bagi mengelakkan kerugian operasi berterusan dan jangkaan kos penyelenggaraan AS$2.5 juta (kira-kira RM10.2 juta).

 

Syarikat itu berkata, pesawat berkenaan tidak mampu menjana pendapatan mencukupi untuk menampung kos operasi berikutan kenaikan harga bahan api jet dan ketidaktentuan permintaan penerbangan sewa khas, menyebabkan tindakan mengekalkannya tidak lagi berdaya maju secara komersial.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MMAG mengaitkan persekitaran operasi mencabar itu dengan peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat pada akhir Februari 2026 yang menurutnya mengganggu bekalan tenaga global dan melonjakkan harga bahan api jet.

 

Sekiranya pesawat itu dikekalkan, MJets Air perlu terus menanggung kos operasinya selain melaksanakan penyelenggaraan utama dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang, termasuk pembaikan enjin, baik pulih gear pendaratan dan penyelenggaraan sambungan bertindih pada badan pesawat.

 

Menurut MMAG, tiada jaminan perbelanjaan dianggarkan AS$2.5 juta itu dapat diperoleh semula menerusi pendapatan penerbangan sewa khas pada masa depan. Mengekalkan pesawat tersebut boleh mengakibatkan kerugian operasi berterusan dan jumlah kerugian kewangan lebih besar kepada kumpulan.

 

Dengan adanya pembeli yang bersedia, cadangan pelupusan bernilai AS$2.8 juta itu memberi peluang kepada kumpulan memperoleh tunai dan mengelakkan perbelanjaan penyelenggaraan besar pada masa depan meskipun terpaksa menanggung anggaran kerugian pelupusan tersebut.

 

Pelihara tunai untuk keperluan perniagaan

MMAG mempunyai tunai dan kesetaraan tunai berjumlah RM50.92 juta setakat 30 September 2026 bagi menyokong keperluan modal kerja pelbagai segmen perniagaannya, termasuk penerbangan, logistik dan pengurusan pemenuhan pesanan.

 

Syarikat itu berkata, pelupusan tersebut akan mengurangkan tekanan aliran tunai MJets Air dan keperluan suntikan tunai tambahan untuk membiayai kos operasi serta penyelenggaraan pesawat, sekali gus memelihara sumber tunai bagi operasi perniagaan lain kumpulan.

 

Harga jualan yang dipersetujui adalah AS$220,000 atau kira-kira 7.28% lebih rendah berbanding nilai pasaran AS$3.02 juta yang ditentukan Cirium Ascend Consultancy pada 5 Oktober 2026 berdasarkan andaian keadaan “run-out”.

 

Penilaian itu mengandaikan komponen utama memerlukan baik pulih, pemeriksaan atau pemulihan prestasi, manakala komponen enjin yang mempunyai had hayat telah mencapai penghujung hayat diperakui.

 

Menurut MMAG, diskaun tersebut mengambil kira jangkaan perbelanjaan penyelenggaraan, keadaan pasaran semasa dan permintaan terhadap pesawat jenis itu.

 

Daripada hasil pelupusan, AS$2.55 juta diperuntukkan bagi kos berkaitan pesawat, termasuk sewaan pajakan, pembiayaan, penyelenggaraan, insurans dan perbelanjaan operasi lain. Baki AS$250,000 akan membiayai kos kakitangan serta perbelanjaan operasi harian lain.

 

Kedua-dua peruntukan itu dijangka digunakan dalam tempoh tiga bulan selepas hasil pelupusan diterima. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved