Pada awal tahun ini, ASUS telah memperlihatkan kemaskini terbaru kepada siri komputer riba gaming premium mereka, ASUS ROG STRIX, termasuklah model STRIX Scar dan STRIX G16 dengan komponen-komponen Intel dan NVIDIA yang terbaru, dan kini, ia akan memasuki pasaran Malaysia.
Bermula dengan ASUS STRIX Scar 18, komputer riba ini hadir dengan paparan skrin ROG Nebula Display, menggunakan panel Mini LED yang mencapai kecerahan puncak 1200 nit. CPU yang digunakan ialah Intel Core Ultra 9 290HX yang dipadankan dengan kad grafik GeForce RTX 5090, memori sehingga 64GB DDR5-6400 RAM, storan 2TB NVME SSD dan bateri 90Wh.

Komputer riba dilengkapi dengan lampu RGB pada bahagian bingkai dan juga panel AniMe Vision pada bahagian penutup yang boleh diprogramkan untuk memaparkan pelbagai corak yang dipilih sendiri oleh pengguna. Proses menukar RAM dan SSD juga dipermudahkan menerusi panel akses pantas pada bahagian bawah yang memerlukan sebarang peralatan untuk dibuka.
Dalam pada itu, ASUS ROG STRIX G18 juga diperkenalkan ke pasaran tempatan, dikuasakan cip pemprosesan Intel Core Ultra 9 290HX, 16GB memori DDR5 dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 2TB. Dari segi penawaran kad grafik pula, model yang dijual di Malaysia hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070.

Satu lagi perbezaan dengan model yang lebih premium tersebut ialah ROG STRIX G18 menggunakan panel IPS LCD bersaiz 18 inci dengan resolusi QHD+ dan kadar segar semula 300Hz, sesuai untuk mereka yang hanya mahukan prestasi gaming yang berkuasa dan tidak begitu kisah tentang ciri-ciri tambahan yang lain.
Kedua-dua komputer riba ini sudah mula dijual di kedai atas talian ASUS eStore Malaysia pada harga-harga berikut:
- ASUS ROG STRIX SCAR 18 – RM27,999
- ASUS ROG STRIX G18 – RM14,999
Setiap pembelian komputer-komputer riba gaming ini juga akan tiba dengan aksesori ROG Backpack, tetikus gaming dan juga langganan Microsoft PC Game Pass percuma untuk tiga bulan.




