
Sebelum ini kami ada melaporkan bahawa jenama komputer Acer dan ASUS tidak dibenarkan untuk menjual produk-produk komputer mereka di pasaran Jerman kerana mereka tidak membayar paten teknologi codec video HEVC (H.265) milik Nokia.
Terkini, nampaknya kedua-dua syarikat tersebut telah mengesahkan bahawa mereka kini sudah boleh sambung menjual komputer-komputer mereka di pasaran tersebut. Acer mengatakan bahawa mereka masih akan menjual kedua-dua model komputer riba dengan dan tanpa codec HEVC tersebut diaktifkan pada komputer-komputer mereka. Pelanggan yang membeli komputer tanpa codec tersebut boleh membeli codec tersebut dan mengaktifkannya sendiri.
Butiran mengenai penyelesaian untuk pihak Acer tidak diketahui, tetapi jangkaannya ialah mereka telah membayar Nokia untuk hak mengaktifkan codec tersebut pada komputer-komputer mereka, dan ini membolehkan Acer untuk memulihkan hak jualan mereka.
Pihak ASUS juga kini dibenarkan untuk menjual komputer-komputer mereka dengan codec HEVC, akan tetapi buat masa ini, kedua-dua ASUS dan Nokia masih lagi dalam perbincangan tentang cara terbaik untuk mereka menyelesaikan masalah penggunaan codec tersebut, dan Nokia nampaknya akan menarik-balik semua kes-kes saman terhadap ASUS di negara Jerman.
Sumber: ChannelPartner.de





