
PETALING JAYA – Notis Tuntutan (LOD) bagi memulakan saman fitnah sebanyak RM5 juta akan diserahkan secara berperingkat kepada pemilik akaun yang didakwa menyebarkan dakwaan tidak benar berkaitan pelbagai isu Tabung Haji.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya, Datuk Adnan Seman untuk mengambil tindakan berkenaan terhadap pemilik-pemilik akaun yang didakwa sengaja memburukkan, menjatuhkan reputasi dan mencemarkan maruahnya.
“Saya telah mengarahkan peguam saya Datuk Adnan Seman untuk menyerahkan LOD bagi memulakan saman fitnah sebanyak RM5 Juta kepada pemilik-pemilik akaun yang memfitnah dan sengaja mahu memburukkan dan menjatuhkan reputasi saya dengan mengaitkan dengan pelbagai isu Tabung Haji.
“Insya-Allah, bermula petang ini, secara berperingkat LOD akan mula disediakan dan diserahkan kepada pemilik-pemilik akaun yang berniat jahat untuk memburukkan nama, menjatuhkan reputasi dan mencemarkan maruah saya melalui penyebaran dakwaan yang tidak benar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, tindakan itu bukan dibuat kerana wang, sebaliknya bagi membuktikan kebenaran di mahkamah.
“Bukan wang yang saya cari, tapi insya-Allah Allah akan tunjukkan kebenaran di muka pengadilan.
“Sebagaimana saman-saman terdahulu, saya bertekad untuk menyalurkan setiap sen wang yang diterima dan ditentukan oleh Mahkamah kelak ke Yayasan Pelajaran Mara untuk manfaat pelajar-pelajar miskin, yatim dan susah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Asyraf Wajdi tuntut RM5 juta saman fitnah Tabung Haji appeared first on Kosmo Digital.






