Asyraf Wajdi Nafi Terbabit Kontroversi Tabung Haji

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 4:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Asyraf Wajdi Nafi Terbabit Kontroversi Tabung Haji

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menolak cubaan mengaitkan dirinya dengan kontroversi membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH), dengan menegaskan jawatannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak memberinya kuasa untuk campur tangan dalam operasi, keputusan dasar atau perjanjian institusi berkenaan.

Beliau berkata, kedudukannya sebagai timbalan menteri dari sudut Perlembagaan tidak membolehkannya menjalankan kuasa yang diberikan kepada menteri, manakala peranan menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen dan setiausaha politik diperuntukkan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Wow, nampaknya ada usaha terancang untuk memburukkan dan memusnahkan imej saya dengan cuba mengaitkan saya dengan setiap isu berkaitan Tabung Haji.

“Untuk makluman, saya diminta mengetuai delegasi haji Malaysia pada 2017 bagi menggantikan menteri. Kebetulan saya berada di Makkah dan dijemput mewakili menteri dalam majlis berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap satu video yang dimuat naik di platform sama, memaparkan beliau menghadiri majlis memuktamadkan lanjutan 10 tahun perjanjian pajakan hotel di Madinah dan Makkah antara TH dengan Al-Rawda.

Menurut Asyraf, video berkenaan seolah-olah digunakan untuk mengaitkannya dengan urusan Tabung Haji, sedangkan beliau tidak mempunyai kuasa terhadap pentadbiran institusi itu.

“Untuk makluman juga, timbalan menteri tidak mempunyai kuasa untuk terlibat dalam proses atau meluluskan mana-mana aktiviti dan operasi Tabung Haji, apatah lagi perjanjiannya,” katanya.

Asyraf turut merujuk kepada Akta Tabung Haji yang menetapkan pentadbiran dan operasi institusi berkenaan dikendalikan oleh ketua pegawai eksekutif serta pihak pengurusan.

Beliau menegaskan tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perkara itu sejak dilantik sebagai timbalan menteri, sama ada oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mahupun agensi penguat kuasa termasuk polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Ini kerana saya bukan pihak yang mempunyai sebarang kuasa atau penglibatan, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Malah, Laporan RCI Tabung Haji juga tidak menyebut atau mengaitkan saya sama sekali dalam kapasiti sebagai timbalan menteri,” katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika tadbir urus dan pengurusan TH terus mendapat perhatian susulan penerbitan laporan RCI yang meneliti isu berkaitan pentadbiran serta keputusan terdahulu institusi berkenaan. - Getaran, 14 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved