
PETALING JAYA: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan peguamnya menyerahkan Notis Tuntutan (LOD) bagi memulakan tindakan saman fitnah sebanyak RM5 juta terhadap pemilik akaun yang didakwa mengaitkannya dengan pelbagai isu Tabung Haji (TH).
Beliau berkata, arahan itu diberikan kepada peguamnya, Datuk Adnan Seman susulan dakwaan yang disifatkannya sebagai fitnah serta bertujuan memburukkan dan menjatuhkan reputasinya.
Katanya, LOD berkenaan akan mula disediakan dan diserahkan secara berperingkat kepada pemilik akaun terbabit bermula petang ini.
“Insya-Allah, bermula petang ini, secara berperingkat LOD akan mula disediakan dan diserahkan kepada pemilik-pemilik akaun yang berniat jahat untuk memburukkan nama, menjatuhkan reputasi dan mencemarkan maruah saya melalui penyebaran dakwaan yang tidak benar.
“Bukan wang yang saya cari, tapi insya-Allah Allah akan tunjukkan kebenaran di muka pengadilan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau mahu hasil daripada tindakan undang-undang berkenaan memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.
“Sebagaimana saman-saman terdahulu, saya bertekad untuk menyalurkan setiap sen wang yang diterima dan ditentukan oleh mahkamah kelak ke Yayasan Pelajaran MARA untuk manfaat pelajar-pelajar miskin, yatim dan susah,” katanya. – UTUSAN
The post Fitnah isu TH: Asyraf Wajdi hantar LOD, tuntut RM5 juta appeared first on Utusan Malaysia.






