Banjir Nepal: ‘Selagi tiada berita, saya masih berharap’

29 Aug 2026 • 5:55 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Banjir Nepal: ‘Selagi tiada berita, saya masih berharap’

GOMBAK – “Saya kena sabar. Bagi saya, 70 peratus masih berharap dan 30 peratus sudah reda kerana kita tidak tahu bagaimana keadaannya.”

Demikian luahan Jamaliah Tengku Ismail, 67, yang masih menaruh harapan suaminya, Muhamad Nasir Abdul Talib, 68, ditemukan selamat selepas dilaporkan hilang dalam kejadian banjir kilat di Nepal.

Menurut Jamaliah, dia perlu bersedia menerima apa jua kemungkinan, namun enggan berputus asa selagi belum menerima sebarang berita mengenai keadaan suaminya.

“Saya juga bersedia menerima kemungkinan terburuk. Semakin lama masa berlalu, peluang itu semakin berkurangan kerana berdasarkan perkiraan, mereka berada di kawasan yang paling teruk terjejas,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar di sini hari ini.

Jamaliah berkata, kali terakhir dia berhubung dengan suaminya adalah pada malam sebelum Muhamad Nasir bertolak menuju ke sempadan Nepal-Tibet.

Katanya, suaminya turut membuat panggilan ketika dalam perjalanan, namun dia tidak sempat menjawab.

Wanita itu menambah, lokasi terakhir Muhamad Nasir yang dapat dikesan adalah di sebuah kafe kira-kira sejam sebelum banjir kilat melanda.

“Pada malam sebelum bertolak, mereka sangat gembira dan teruja untuk ke sempadan kerana dimaklumkan kawasan sepanjang perjalanan itu mempunyai pemandangan yang sangat cantik.

“Dia memang suka melancong, tetapi ini kali pertama dia mengikuti kumpulan untuk perjalanan seperti ini. Mereka sudah merancang perjalanan tersebut kira-kira enam bulan,” katanya.

Katanya, Muhamad Nasir bukan seorang pendaki gunung dan suaminua itu menyertai perjalanan ke Nepal bersama rakan-rakan untuk menikmati pemandangan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Jamaliah yakin peluang suaminya untuk bertahan masih ada memandangkan kumpulan tersebut turut disertai dua anggota bomba yang mempunyai kemahiran berkaitan kelangsungan hidup.

“Saya yakin kalau mereka berada di tempat selamat, mereka boleh bertahan, Insya-Allah. Dua anggota bomba bersama mereka juga merupakan jurulatih mengenai cara untuk bertahan, jadi mereka tentunya boleh membantu yang lain termasuk suami saya yang tidak mempunyai pengalaman,” katanya.

Dalam pada itu, Jamaliah berharap operasi pencarian dapat dipercepatkan dan memberikan tumpuan kepada kawasan yang mempunyai kebarangkalian tinggi kumpulan berkenaan berada berdasarkan maklumat lokasi terakhir mereka.

“Selagi kita belum menerima berita lain, bagi kami tiada berita masih merupakan berita baik. Tetapi operasi perlu dipercepatkan kerana kalau mereka tercedera atau terkandas tanpa air dan makanan, semakin lama keadaan akan menjadi semakin sukar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Banjir Nepal: ‘Selagi tiada berita, saya masih berharap’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved