hamden17/08/2026 - 11:54 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Ogos - Atlantis Automobili Sdn. Bhd., syarikat bersekutu Atlantis Motor Group, dilantik sebagai pengimport dan pengedar rasmi Maserati di Malaysia berkuat kuasa 19 Mei 2026, sekali gus membuka lembaran baharu bagi jenama kereta mewah Itali itu dalam pasaran tempatan.
Pelantikan tersebut menyaksikan Atlantis Automobili mengambil alih tanggungjawab penuh terhadap operasi Maserati di Malaysia, meliputi jualan, perkhidmatan selepas jualan, pengalaman pelanggan, pembangunan jenama serta operasi rangkaian.
Syarikat berkata, tumpuan utama dalam tempoh peralihan adalah memastikan kesinambungan perkhidmatan serta keyakinan pemilik Maserati sedia ada tidak terjejas.
Pengarah Eksekutif Atlantis Automobili Sdn. Bhd., Datuk Douglas Cheng Heng Lee, berkata syarikat memberi keutamaan kepada pengalaman pemilikan yang lancar, selain memperkukuh asas bagi menyokong pertumbuhan jenama itu di Malaysia untuk jangka panjang.
"Maserati merupakan jenama yang dibina berasaskan warisan, ketukangan dan semangat, dan kami menyedari sepenuhnya tanggungjawab untuk mewakili jenama ikonik seperti ini.
"Fokus segera kami adalah memastikan pengalaman pemilikan yang lancar, di samping memperkukuh asas yang menyokong jenama ini di Malaysia untuk jangka panjang," katanya dalam kenyataan.

Maserati, yang mempunyai sejarah lebih 112 tahun, berteraskan konsep Italian GranTurismo, yang menggabungkan reka bentuk, keanggunan, prestasi, ketukangan serta teknologi berteraskan manusia dalam pengalaman pemanduan.
Tahun 2026 turut menandakan ulang tahun ke-100 penciptaan logo Trident Maserati.
Sementara itu, Ketua Maserati Asia Pasifik (APAC), Julie Taieb-Doutriaux berkata, Malaysia merupakan pasaran penting dalam rangkaian Maserati di rantau berkenaan.
"Dengan kepakaran automotif Atlantis Automobili yang terbukti serta pendekatan berteraskan pelanggan, kami yakin mereka akan terus meningkatkan pengalaman Maserati untuk pemilik sedia ada dan bakal pemilik di Malaysia," katanya.
Sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjangnya terhadap pasaran Malaysia, Atlantis Automobili berkata ia sedang menyediakan beberapa pelaburan dan penambahbaikan strategik bagi mengukuhkan lagi kehadiran Maserati dalam negara.
Pelaburan itu dijangka merangkumi kemudahan baharu, inisiatif pelanggan serta perkembangan lain, yang akan diumumkan pada masa akan datang.
Syarikat turut menyatakan komitmen untuk membawa rangkaian produk masa depan Maserati kepada pelanggan Malaysia bagi menyokong pertumbuhan jenama itu dalam pasaran tempatan.
Dalam tempoh peralihan, pemilik Maserati sedia ada akan terus menerima sokongan selepas jualan dan khidmat pelanggan, dengan saluran komunikasi khusus disediakan bagi menangani pertanyaan serta memberikan kemas kini berkaitan. - DagangNews.com





