
KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2026 – Maserati membuka lembaran baharu di Malaysia apabila Atlantis Automobili Sdn. Bhd., syarikat bersekutu di bawah Atlantis Motor Group, dilantik sebagai pengimport dan pengedar rasmi Maserati di Malaysia, berkuat kuasa 19 Mei 2026.
Pelantikan ini bukan sekadar pertukaran pengendali, malah menandakan satu langkah penting dalam usaha Maserati untuk memperkukuh kedudukannya dalam pasaran Malaysia, selain memastikan kesinambungan perkhidmatan dan keyakinan dalam kalangan pemilik sedia ada.
Melalui pelantikan tersebut, Atlantis Automobili kini bertanggungjawab sepenuhnya terhadap operasi Maserati di Malaysia merangkumi jualan, perkhidmatan selepas jualan, pengalaman pelanggan, pembangunan jenama serta operasi rangkaian.
Keutamaan utama bagi fasa baharu ini adalah memastikan setiap pemilik Maserati terus menerima tahap perkhidmatan dan sokongan yang sepadan dengan reputasi jenama mewah Itali tersebut.
Fokus Kepada Pemilik Maserati Sedia Ada
Menurut Executive Director Atlantis Automobili Sdn. Bhd., Dato’ Douglas Cheng Heng Lee, fokus utama syarikat ketika memulakan bab baharu ini adalah pelanggan dan pemilik Maserati.
“Maserati ialah jenama yang dibina atas warisan, ketukangan dan semangat, dan kami menyedari sepenuhnya tanggungjawab yang hadir bersama perwakilan sebuah jenama ikonik seperti ini.
“Fokus segera kami adalah memastikan pengalaman pemilikan yang lancar, di samping mengukuhkan asas yang menyokong jenama ini di Malaysia untuk jangka masa panjang.”
Atlantis Automobili turut memberi jaminan bahawa pemilik Maserati sedia ada akan terus menerima sokongan selepas jualan serta khidmat pelanggan sepanjang tempoh peralihan.
Saluran komunikasi khusus juga akan disediakan bagi membantu pelanggan mendapatkan maklumat dan bantuan berkaitan keperluan pemilikan mereka.
Maserati Malaysia Memasuki Fasa Baharu
Pelantikan Atlantis Automobili hadir ketika Maserati terus mempertahankan identitinya sebagai antara nama ikonik dalam industri automotif Itali.
Selama lebih 112 tahun, Maserati dikenali menerusi falsafah Italian GranTurismo, yang menggabungkan reka bentuk, keanggunan, prestasi, ketukangan serta teknologi berorientasikan manusia dalam satu pengalaman unik.
Menariknya, tahun 2026 turut menjadi tahun istimewa bagi Maserati apabila ia menandakan 100 tahun penciptaan Trident, simbol ikonik yang sinonim dengan jenama tersebut.
Menurut Head of Maserati APAC, Julie Taieb-Doutriaux, Malaysia merupakan pasaran penting dalam rangkaian Maserati di Asia Pasifik.
“Pelantikan Atlantis Automobili merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh komitmen jangka panjang kami terhadap pelanggan di Malaysia.
“Dengan pengalaman automotif dan pendekatan berorientasikan pelanggan yang dimiliki Atlantis Automobili, kami yakin mereka mampu meningkatkan lagi pengalaman Maserati untuk pemilik sedia ada dan pelanggan baharu di Malaysia.”
Pelaburan Baharu Bakal Diperkukuh
Dalam usaha membina asas yang lebih kukuh di Malaysia, Atlantis Automobili turut merancang beberapa pelaburan dan penambahbaikan strategik bagi mengembangkan kehadiran Maserati dalam pasaran tempatan.
Antara yang bakal diberi perhatian termasuk kemudahan baharu, inisiatif pelanggan serta perkembangan masa depan jenama.
Bagaimanapun, perincian mengenai pelaburan dan kemudahan baharu tersebut akan diumumkan secara berperingkat pada masa akan datang.
Lebih menarik, Atlantis Automobili turut menyatakan kesediaannya untuk membawa portfolio produk masa depan Maserati kepada pelanggan Malaysia, sekali gus memberikan gambaran bahawa fasa baharu ini bukan sekadar memberi tumpuan kepada kesinambungan operasi sedia ada.
Sebaliknya, ia turut menjadi asas kepada usaha mengembangkan lagi jenama Maserati di Malaysia.
Pengalaman Pemilikan Jadi Keutamaan
Bagi Maserati, pengalaman pemilikan tidak hanya bergantung kepada produk, sebaliknya merangkumi hubungan antara pelanggan dengan jenama, tahap perkhidmatan selepas jualan serta keyakinan bahawa sokongan sentiasa tersedia apabila diperlukan.
Justeru, Atlantis Automobili menjadikan pengalaman pelanggan, kecemerlangan selepas jualan dan hubungan dengan komuniti Maserati Malaysia sebagai antara fokus utama dalam bulan-bulan akan datang.
Atlantis Automobili merupakan sebahagian daripada Atlantis Motor Group, sebuah kumpulan automotif serantau yang menawarkan penyelesaian mobiliti merangkumi keseluruhan rantaian nilai automotif.
Dengan pengalaman industri yang dimiliki kumpulan tersebut, Atlantis Automobili menyasarkan untuk memberikan pengalaman pemilikan bertaraf dunia sambil mengekalkan standard yang sinonim dengan Maserati.
Lokasi Operasi Sementara Maserati Malaysia
Buat masa ini, Maserati Malaysia beroperasi menerusi kemudahan sementara bagi jualan dan perkhidmatan selepas jualan.
Interim Sales & Service Facility
RS-G-02, Rhapsody Square, TREC 438,
Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur
Interim Aftersales Service Centre
30, Jalan Pengacara U1/48,
Kawasan Perindustrian Temasya,
40150 Shah Alam, Selangor
Pelanggan yang memerlukan maklumat lanjut atau bantuan boleh menghubungi Maserati Malaysia Customer Care di talian +603 2110 2660 atau menerusi e-mel contact@atlantismotor.com.my.
Dengan Atlantis Automobili kini menerajui operasi Maserati di Malaysia, perhatian selepas ini pastinya terarah kepada pelan pelaburan, kemudahan baharu serta portfolio model Maserati yang bakal diperkenalkan ke pasaran tempatan.
Apa yang pasti, jenama Trident kini memasuki satu lagi bab penting di Malaysia – dengan sasaran bukan sahaja mengekalkan kepercayaan pemilik sedia ada, tetapi juga membawa pengalaman Maserati kepada generasi pelanggan seterusnya.



The post Atlantis Automobili Rasmi Pengimport dan Pengedar Maserati di Malaysia, Kukuhkan Komitmen Jangka Panjang appeared first on TW Media.






