
PUTRAJAYA: Keyakinan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terhadap Datuk Azizulhasni Awang untuk merealisasikan impian emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) tetap utuh, namun segala sasaran itu perlu disokong prestasi sebenar di lapangan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, keyakinan terhadap kemampuan atlet negara menjadi asas kepada setiap sasaran yang ditetapkan, termasuk mereka yang berada di bawah program Road to Gold (RTG).
Katanya, KBS tidak mungkin meletakkan sasaran tinggi kepada atlet sekiranya kementerian sendiri tidak percaya terhadap kemampuan mereka untuk merealisasikannya.
“Kita yakin dengan semua atlet kita kerana apabila kita menetapkan sasaran, ia dibuat berdasarkan keyakinan, jadi tidak gunanya kita mempunyai program Road to Gold tetapi dalam hati kita sendiri tidak yakin.
“Namun, keyakinan itu tidak boleh sekadar datang daripada kata-kata dan impian kerana ia perlu dibuktikan menerusi pelaksanaan serta aksi secara menyeluruh,” katanya pada sidang media sesi taklimat menjelang Sukan Asia dan Proses Kelayakan Sukan Olimpik LA28 di Menara KBS, Putrajaya semalam.
Taufiq pada masa sama menegaskan Azizulhasni bukan satu-satunya atlet yang memikul harapan KBS untuk menamatkan penantian emas Olimpik negara.
“Kalau tanya saya, saya tidak mahu hanya seorang atlet yang saya yakin kerana keyakinan dan harapan yang kita letakkan adalah kepada semua atlet.
“Semua yang dipersiapkan ke LA28 mempunyai peluang untuk membawa cabaran negara dan mereka akan dinilai berdasarkan kemampuan masing-masing,” katanya.
Mengenai Azizulhasni, Taufiq berkata keputusan membenarkan pelumba berusia 38 tahun itu meneruskan kempen LA28 dibuat selepas mengambil kira data serta fakta yang ada dan bukannya dipengaruhi emosi.
“Kita membuat keputusan bukan berdasarkan emosi tetapi berdasarkan data dan fakta selepas mengambil pertimbangan, dan saya sangat objektif dalam perkara ini.
“Jika berdasarkan data dan fakta perkara itu tidak boleh dilaksanakan, kita akan katakan ia tidak boleh dilaksanakan tetapi jika ada kemungkinan, maka kita laksanakan dan insya-Allah kita yakin,” katanya. – UTUSAN
The post Atlet perlu buktikan keyakinan di lapangan appeared first on Utusan Malaysia.






