Salah faham komunikasi punca isu Azizulhasni undang polemik

1 Sep 2026 • 2:32 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Salah faham komunikasi punca isu Azizulhasni undang polemik

PUTRAJAYA: Polemik masa depan Datuk Azizulhasni Awang menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) akhirnya membawa kepada pengakuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bahawa wujud tempoh ‘tergantung’ sebelum keputusan yang sudah dibuat disampaikan kepada jaguh berbasikal trek negara itu.

Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, KBS sebenarnya sudah memberikan arahan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) pada 13 Ogos lalu untuk membolehkan Azizulhasni meneruskan misi LA28.

Namun, kelewatan antara arahan berkenaan dengan pengeluaran surat tawaran rasmi kepada Azizulhasni menyebabkan timbul kekeliruan sehingga mencetuskan polemik yang mendapat perhatian ramai.

“Perkara ini saya boleh mengakui, saya mengambil tanggungjawab mungkin ada sedikit salah faham dari segi komunikasi yang telah pun kita selesaikan secara dalaman bersama dengan MSN, ISN dan semua yang kita telah bincang supaya selepas ini komunikasi itu perlu lebih baik lagi.

“Maknanya 13 hari bulan arahan saya telah pun keluarkan, kemudian surat tawaran itu telah dikeluarkan pada dua hari lepas, mungkin ada kelompangan waktu tersebut yang menyebabkan beberapa perkara dan isu ini berbangkit,” katanya pada sidang media sesi taklimat menjelang Sukan Asia dan Proses Kelayakan Sukan Olimpik LA28 di Menara KBS, Putrajaya semalam.

Taufiq bagaimanapun menegaskan isu berkenaan tidak seharusnya berakhir dengan tindakan menuding jari kerana perkara paling penting ketika ini ialah memastikan semua pihak bergerak dalam hala tuju yang sama demi kepentingan sukan negara.

“Kita telah kenal pasti di mana kesilapannya dan saya tidak menyalahkan mana-mana pihak, baik pihak MSN, Azizulhasni dan sebagainya. Fokus sekarang adalah bukan mencari kesilapan dan kesalahan, fokus sekarang adalah untuk kita bergerak kehadapan untuk negara kita.

“Komunikasi yang baik dari MSN, atlet, persatuan itu sangat penting supaya tidak berlaku sebarang polemik atau kekeliruan dalam masyarakat, apa yang berlaku ini saya mengambil sebagai sesuatu yang sangat positif,” jelasnya.

Dalam masa sama, Taufiq mengesahkan KBS sudah menerima surat balasan daripada Azizulhasni yang bersetuju meneruskan khidmatnya kepada negara bagi merealisasikan impian beraksi di LA28.

Perincian mengenai bentuk sokongan dan bantuan kepada pelumba berusia 38 tahun itu bagaimanapun akan dibincangkan lebih lanjut bersama MSN, persatuan serta Azizulhasni bagi memastikan persiapan menuju LA28 dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Mengulas kritikan yang turut menyentuh kredibilitinya susulan polemik berkenaan, Taufiq memilih untuk tidak menjadikan perkara itu sebagai isu peribadi sebaliknya mahu seluruh perhatian kini diberikan kepada usaha memperkemaskan pengurusan dan komunikasi demi agenda sukan negara. – UTUSAN

The post Salah faham komunikasi punca isu Azizulhasni undang polemik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved