ATM perkasa pertahanan digital, tubuh Tim Nukleus Angkatan Siber

LocalTechnology
19 Sep 2026 • 5:30 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Ancaman siber yang semakin kompleks mendorong Kementerian Pertahanan (MINDEF) meneliti keperluan mewujudkan satu angkatan siber khusus dan berkeupayaan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Strategi peperangan tanpa perlu kehadiran fizikal

Dalam satu kenyataan, Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ancaman pertahanan masa kini tidak lagi tertumpu kepada bentuk konvensional, sebaliknya semakin bersifat hibrid serta melibatkan pelbagai domain.

Menurut beliau, serangan siber kini boleh menjadi sebahagian daripada strategi peperangan tanpa memerlukan kehadiran fizikal, termasuk melalui kod pengaturcaraan berniat jahat, sabotaj spektrum elektromagnetik, manipulasi data dan perang maklumat menggunakan platform digital serta kecerdasan buatan (AI).

“Pertama, ancaman siber bukan lagi sesuatu yang bersifat sisipan atau bermusim. Ia sudah menjadi ancaman yang serius dan membimbangkan. Banyak contoh yang menunjukkan serangan siber menjadi strategi utama dalam peperangan hari ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Angkatan Tentera Malaysia dan Peluncuran Tim Nukleus Angkatan Siber MPAB di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, hari ini.

Image from: ATM perkasa pertahanan digital, tubuh Tim Nukleus Angkatan Siber

Pendekatan secara silo perlu diteliti semula

Mengulas keperluan memperkemas keupayaan siber ATM, Mohamed Khaled menyatakan, sebahagian keupayaan siber dan digital sebenarnya sudah dimiliki, namun ia kini berada dalam pelbagai entiti di bawah perkhidmatan masing-masing.

Justeru itu, beliau menjelaskan bahawa pendekatan secara silo perlu diteliti semula bagi memastikan keupayaan yang ada dapat diselaraskan dengan lebih berkesan mengikut bentuk ancaman merentas domain.

“Apabila kita melihat bentuk ancaman yang hadir pada ini, yang bersifat merentas domain, kita percaya bahawa wujud ruang struktur dan pendekatan sedia ada mesti diperkemas.
 “Kita tidak lagi boleh beroperasi dalam kekangan pemikiran dan pendekatan silo.
“Kita memerlukan sebuah cabang perkhidmatan yang mempunyai mandat khusus dengan keupayaan menjana, melatih, membina doktrin dan mengekalkan modal insan pakar yang diperlukan,” katanya.

Image from: ATM perkasa pertahanan digital, tubuh Tim Nukleus Angkatan Siber

Sehubungan itu, beliau mengumumkan penubuhan Tim Nukleus Angkatan Siber sebagai langkah permulaan untuk meneliti secara mendalam keseluruhan aspek penubuhan angkatan siber yang dicadangkan.

Brigadier Jeneral Datuk Hj Abd Razak bin Hj Sipit menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Tim Nukleus Angkatan Siber ATM daripada Menteri Pertahanan. Tim Nukleus ini dianggotai oleh 14 orang ahli.

Pasukan berkenaan akan meneliti beberapa perkara termasuk struktur organisasi, doktrin operasi baharu, penyelarasan perjawatan serta penyepaduan empat teras utama iaitu CEMA, C4, INTEL dan SPACE.

Image from: ATM perkasa pertahanan digital, tubuh Tim Nukleus Angkatan Siber

Pada masa yang sama, Mohamed Khaled menegaskan pemerkasaan ATM perlu dilaksanakan secara berterusan, termasuk menerusi pemodenan aset, peningkatan keupayaan teknologi serta pembangunan sumber manusia.

Angkatan Masa Hadapan misalnya, mesti kita jayakan tanpa kompromi. Ia bukan sekadar agenda pemodenan. Tetapi ini adalah sebuah jaminan kelangsungan,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan kesejahteraan anggota ATM dan keluarga, pembangunan kerjaya selepas perkhidmatan serta pengukuhan diplomasi pertahanan perlu terus diberikan perhatian sebagai sebahagian daripada strategi pertahanan negara.

Dalam pada itu beliau telah mengucapkan selamat menyambut  Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-93 dan mengajak seluruh anggota ATM berbangga dengan peranan mereka dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.

Turut hadir pada majlis ini ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Haji Malek Razak bin Sulaiman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim bin Ali; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan bin Hj Md Othman; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dato’ (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; serta warga kerja Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved