Kesiapsiagaan ATM, perkukuh benteng Angkatan Masa Hadapan

LocalPolitics
19 Sep 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kesiapsiagaan ATM, perkukuh benteng Angkatan Masa Hadapan

KUALA LUMPUR – Ketahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu terus diperkukuh bagi memastikan pasukan itu kekal siap siaga dan berkeupayaan menghadapi persekitaran keselamatan yang semakin kompleks serta sukar diramal.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, perkara itu menjadi hasrat utama ATM sempena sambutan Hari ATM ke-93 tahun ini menerusi tema ‘Ketahanan ATM, Benteng Pertahanan Negara’.

Menurut beliau, ketahanan ATM diterjemahkan melalui Strategi 5D merangkumi Diplomasi, Detect, Deter, Deny dan Defeat bagi memastikan setiap ancaman dapat dikesan, dicegah dan ditangani dengan berkesan.

“Tema ini mencerminkan keupayaan ATM untuk kekal berdaya tahan, siap siaga, dan berkeupayaan bertindak dalam menghadapi persekitaran keselamatan yang semakin kompleks dan sukar diramal,” katanya.

Beliau berkata, tahap kesiapsiagaan ATM ketika ini turut diperkukuh menerusi pelaksanaan 36 operasi merentasi semua domain serta 140 eksesais secara tunggal, bersepadu, bersama, bilateral dan multilateral.

Malah, latihan dan operasi tersebut penting bagi memperkukuh keupayaan tempur, meningkatkan interoperabiliti serta memastikan warga ATM sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran.

“Seluruh perancangan strategik ini sentiasa diselaraskan dan diperkemas bagi memastikan ATM sentiasa siap siaga untuk memberikan tindak balas yang pantas, tepat, serta bersepakat dalam menghadapi sebarang ancaman,” katanya.

Dalam pada itu, Malek Razak berkata, pembangunan Angkatan Masa Hadapan terus diberi keutamaan menerusi pemodenan keupayaan ketiga-tiga cabang perkhidmatan, termasuk aspek mobiliti, perlindungan, daya tembak, pertahanan udara dan keupayaan operasi taktikal.

Bagi TLDM katanya, pembangunan Littoral Combat Ship (LCS) dan Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 diteruskan, manakala TUDM pula diperkasa menerusi perolehan pesawat FA-50M, sistem pertahanan udara jarak sederhana serta radar pertahanan udara jarak jauh.

“Secara keseluruhannya, bagi tempoh 2026 hingga 2030, fokus strategik akan diberikan kepada pembangunan kesiagaan yang lebih menyeluruh, merangkumi kesiagaan operasi, pembuatan keputusan, teknologi dan sustainment,” katanya.

Pada masa sama, ATM turut memberi tumpuan kepada domain baharu apabila Tim Nukleus Angkatan Siber diwujudkan bagi menerajui persediaan ke arah penubuhan rasmi Angkatan Siber sebagai angkatan ke empat ATM menjelang 2030.

“Ruang siber dan elektromagnetik kini merupakan medan persaingan serta pertempuran yang semakin mendominasi landskap keselamatan moden,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan keupayaan itu turut disokong rancangan pembangunan Satelit Komunikasi ATM yang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2031 bagi memastikan keupayaan komunikasi strategik negara terus diperkukuh.

Dalam aspek tatakelola pula, katanya, ATM melaksanakan Pelan Tindakan Pembanterasan Rasuah ATM 2026-2030, selain memperkasa pengurusan risiko dan pencegahan rasuah menerusi Corruption Risk Management (CRM) ATM.

“Sehingga kini, seramai 105,536 pegawai dan anggota, yang mewakili 98.7 peratus daripada keseluruhan warga aktif, telah menyempurnakan lafaz Ikrar Bebas Rasuah,” katanya.

Menurut beliau, kebajikan warga ATM dan keluarga turut menjadi keutamaan dengan 898 projek senggaraan mula dilaksanakan pada April lalu, melibatkan 15,024 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), 301 blok penginapan dan 989 kerja infrastruktur.

“Prinsip kita jelas bahawa tiada warga ATM yang berjuang sendirian dan tiada keluarga ATM yang kita tinggalkan,” katanya.

Malek Razak berkata, keseluruhan pembangunan ATM bagi tempoh 2026 hingga 2030 akan memberi tumpuan kepada kesiagaan operasi, pembuatan keputusan, teknologi dan sustainment selaras dengan Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026-2030 di bawah peneraju Kementerian Pertahanan (MINDEF).

“Kita perlu memastikan setiap keupayaan yang dibangunkan terus diintegrasikan ke dalam konsep operasi agar setiap pelaburan benar-benar menterjemah kepada kesan operasi yang nyata,” katanya.-KOSMO! ONLINE

The post Kesiapsiagaan ATM, perkukuh benteng Angkatan Masa Hadapan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved