Synergy House dijangka pulih mulai FY2027F dipacu segmen perniagaan kepada pengguna - BIMB Securities

LocalBusiness & Finance
13 Aug 2026 • 2:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Synergy House dijangka pulih mulai FY2027F dipacu segmen perniagaan kepada pengguna - BIMB Securities Image from: Synergy House dijangka pulih mulai FY2027F dipacu segmen perniagaan kepada pengguna - BIMB Securities hamden13/08/2026 - 14:35 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Synergy House Bhd dijangka mencatat pemulihan pendapatan secara beransur-ansur mulai tahun kewangan 2027 (FY2027F), disokong pemulihan segmen perniagaan kepada pengguna (B2C), pengurusan inventori yang lebih baik serta peningkatan margin.

 

BIMB Securities berkata, keuntungan selepas cukai (PAT) Synergy House dijangka kekal negatif pada RM7.3 juta bagi FY2026F, sebelum kembali mencatat keuntungan masing-masing sebanyak RM0.6 juta pada FY2027F dan RM6.2 juta pada FY2028F.

 

Menurutnya, prospek pemulihan itu disokong transformasi Synergy House daripada pengeksport perabot tradisional kepada pemain e-dagang rentas sempadan berorientasikan B2C.

 

Sumbangan B2C kepada pendapatan kumpulan meningkat daripada 13% pada FY2021 kepada 61% pada FY2025, sebelum terus meningkat kepada 74% pada 1QFY2026.

 

“Walaupun pendapatan jangka pendek kekal tertekan, kami percaya asas pelaburan jangka panjang Synergy House masih utuh, disokong pertumbuhan B2C dan model perniagaan ringan aset,” katanya yang memulakan liputan ke atas Synergy House dengan saranan ‘PEGANG’ dan harga sasaran (TP) RM0.19.

 

BIMB Securities berkata model ringan aset Synergy House membolehkan kumpulan berkembang tanpa memerlukan perbelanjaan modal pembuatan yang besar, selain memberi tumpuan kepada aktiviti bernilai lebih tinggi seperti reka bentuk produk, pengurusan platform pasaran dan pemasaran digital.

 

FY2025, 1QFY2026 terjejas

Bagaimanapun, FY2025 dan 1QFY2026 merupakan tempoh mencabar bagi kumpulan susulan perbelanjaan pengguna yang lebih lemah, trafik platform pasaran yang rendah, peningkatan kos pemenuhan pesanan dan penyimpanan serta turun naik kadar pertukaran asing.

 

Gangguan berkaitan tarif di pasaran utama AS turut memberi tekanan kepada prestasi kumpulan.

 

Pendapatan FY2025 merosot 20.7% tahun ke tahun (YoY) kepada RM311 juta, manakala PAT susut 84.5% YoY kepada RM4.3 juta.

 

Momentum lemah berterusan pada 1QFY2026 apabila pendapatan merosot 47.4% YoY kepada RM46.4 juta, manakala kumpulan mencatat kerugian bersih sebanyak RM5.9 juta.

 

Bagaimanapun BIMB Securities melihat hubungan rapat Synergy House dengan Wayfair, yang menyumbang kira-kira 90% daripada jualan B2C, sebagai antara faktor yang menyokong prospek jangka sederhana kumpulan.

 

Hubungan tersebut memberikan Synergy House akses kepada salah satu ekosistem e-dagang perabot terbesar di dunia.

 

Bagaimanapun, prospek kumpulan masih berdepan risiko termasuk kebergantungan kepada platform pasaran, ketidaktentuan tarif, turun naik mata wang serta permintaan perabot yang lemah di pasaran eksport utama.

 

Mengenai penilaian, BIMB Securities berkata TP RM0.19 dibuat berdasarkan gandaan harga kepada nilai buku (P/B) FY2026F sebanyak 0.75 kali, bersamaan jalur dagangan sejarah kumpulan pada -1 sisihan piawai, diterapkan kepada nilai buku sesaham (BVPS) FY2026F sebanyak RM0.25.

 

Menurutnya, penilaian Synergy House yang lebih rendah, kedudukan tunai bersih, penyata kewangan yang semakin kukuh serta peningkatan sumbangan B2C memberikan sokongan kepada prospek pemulihan kumpulan dalam jangka sederhana. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved