hamden13/08/2026 - 12:45 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Ogos - Peningkatan perbelanjaan dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI), ditambah dengan agenda pendigitalan kerajaan dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan pendapatan VSTECS Bhd dalam tempoh akan datang, kata BIMB Securities.
Firma penyelidikan berkata, permintaan terhadap infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kekal berdaya tahan dalam segmen perusahaan dan kerajaan, walaupun industri berdepan kekangan bekalan komponen serta kos perkakasan yang tinggi.
Menurutnya, peningkatan sumbangan daripada aliran pendapatan berulang dan perkhidmatan bernilai tambah turut dijangka memperkukuh daya tahan margin serta meningkatkan kualiti pendapatan VSTECS dalam jangka panjang.
“Peningkatan perbelanjaan infrastruktur AI, bersama agenda pendigitalan kerajaan, akan mengukuhkan prospek pertumbuhan pendapatan syarikat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
BIMB Securities menjangkakan momentum pendapatan VSTECS bertambah baik pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26), disokong pelaksanaan projek perusahaan yang lebih kukuh serta perbelanjaan sektor awam yang berterusan.
Pendapatan suku tahunan syarikat juga dijangka meningkat melepasi paras 2QFY26 apabila lebih banyak projek berkaitan perusahaan dan sektor awam mula dilaksanakan.
Prestasi 6MFY26
Bagi tempoh enam bulan pertama FY26 (6MFY26), keuntungan bersih teras VSTECS meningkat 6.9% tahun ke tahun (YoY) kepada RM44.4 juta, selaras dengan anggaran firma penyelidikan dan mewakili 38.2% daripada unjuran setahun penuh.
Pada 2QFY26, keuntungan bersih teras meningkat 5% YoY kepada RM22.7 juta, walaupun pendapatan melonjak 31.7% YoY kepada RM1.1 bilion.
Pertumbuhan hasil tersebut dipacu terutamanya oleh segmen Enterprise Systems, yang menyaksikan pendapatan meningkat 46.2% YoY susulan penghantaran projek sektor awam dan perusahaan yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, pertumbuhan keuntungan dihadkan oleh pengecutan margin, dengan margin keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen Enterprise Systems susut kepada 3.7% daripada 4%.
Sebaliknya, segmen ICT Services terus menjadi pemacu positif apabila PBT meningkat 80.1% YoY, disokong sumbangan lebih tinggi daripada perkhidmatan awan yang menawarkan margin lebih tinggi.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘BELI’ terhadap VSTECS dengan harga sasaran (TP) RM2.14, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY27F sebanyak 17.2 kali.
Penilaian itu bersamaan 0.5 sisihan piawai melebihi purata sejarah tiga tahun dan diterapkan kepada anggaran EPS FY27F sebanyak 12.5 sen. Firma itu turut mengekalkan unjuran pendapatan tanpa sebarang perubahan. - DagangNews.com






