
SERDANG - Cadangan untuk menjalankan audit forensik bagi mengenal pasti dalang di sebalik kerugian hampir RM10 bilion yang dialami Felda akan dibawa ke mesyuarat Kabinet akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Maulidur Rasul Kebangsaan 1448H/2026 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, hari ini.
“Kita akan bawa audit forensik itu ke Kabinet,” katanya ringkas.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa audit forensik perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap kerugian hampir RM10 bilion yang ditanggung Felda.
Langkah itu penting bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil, sekiranya siasatan mendapati wujud unsur penyalahgunaan kuasa, pecah amanah atau kelemahan dalam pentadbiran dan tadbir urus.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini turut menggesa supaya audit forensik terhadap Felda dilaksanakan, selain menegaskan sebarang dakwaan berkaitan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah atau kegagalan tadbir urus perlu disiasat secara menyeluruh.
Jumaat lalu, Anwar berkata beliau akan menunggu laporan penuh Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan bagi menyiasat isu berkaitan pengurusan Felda sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi.
Menurut beliau, pasukan berkenaan sudah memulakan tugas dan hasil siasatan dijangka dibentangkan dalam masa terdekat sebelum didedahkan kepada umum, sama seperti laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji yang baru-baru ini dibentangkan. - Getaran, 25 Ogos 2026






