
KUALA LUMPUR: Audit forensik perlu dibuat bagi mengenal pasti dalang yang mengakibatkan Felda menanggung kerugian hampir RM10 bilion.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu perlu supaya tindakan boleh diambil jika wujud unsur salah guna kuasa, pecah amanah atau salah tadbir urus.
Katanya, tanggungjawab melaksanakan perkara tersebut terletak pada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun bekas Pengerusi Felda sudah pun menjalani hukuman.
“FELDA berdepan masalah begitu besar dan berlarutan. Kita tak boleh bertolak ansur dengan jumlah kerugian terbabit. Tanggungjawab melakukan siasatan diambil Anwar dan yang penting bukan hanya management auditing (audit pengurusan) tetapi forensic auditing (audit forensik) juga mesti dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia (WITEX) serta Festival Seni dan Kebudayaan Dunia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Bagaimanapun, jelas Ahmad Zahid lagi, siasatan terbabit tidak boleh dijadikan alat untuk bertindak zalim, menganiaya atau memalukan mana-mana pihak, seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Tentunya pihak bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan, jika didapati ada bukti kukuh tetapi jangan lakukan penganiayaan atau kezaliman untuk memalukan mana-mana individu seperti yang pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan bagaimana pun perlu menyantuni kebajikan warga Felda agar ia terus dipelihara dan dipertahankan.
“Sebab 225,000 peneroka Felda dan generasi Felda daripada generasi pertama hingga kelima sekarang ini berjumlah tidak kurang daripada 1.8 juta orang yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung, mesti kita santuni agar kepentingan mereka yang menjadi warga Felda ini dapat terus dipertahankan kebajikannya oleh pihak kerajaan.
“Dan tentunya mereka yang bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan jika didapati [terdapat] bukti-bukti yang kukuh.
“Tetapi jangan lakukan penghinaan atau kezaliman atau bertujuan untuk memalukan mana-mana individu, sebagaimana yang pernah dilakukan,” katanya. –UTUSAN
The post Audit forensik perlu, kenal pasti dalang Felda tanggung rugi hampir RM10 bilion appeared first on Utusan Malaysia.






