
KUALA LUMPUR – Audit forensik secara menyeluruh dan berterusan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dilaksanakan segera dan disiapkan dalam tempoh setahun.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berkata, saranan itu dibuat bagi meneliti keputusan pelaburan yang menyebabkan institusi tersebut berdepan kemerosotan nilai aset.
Beliau menyifatkan audit forensik bebas penting bagi menjejaki aliran dana serta mengenal pasti sebarang unsur penipuan, salah guna kuasa dan kecuaian.
“Memandangkan terdapat kelemahan tadbir urus dan ketirisan yang amat kompleks dalam pengurusan dana TH, audit forensik secara menyeluruh dan berterusan mesti dilaksanakan dengan segera dan disiapkan dalam tempoh setahun.
“Sesiapa sahaja yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian dana TH sama ada melalui penipuan, salah guna kuasa atau kecuaian mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam sesi perbahasan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH di sini, hari ini.
Berdasarkan Laporan RCI mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, terdapat transaksi mencurigakan selain penyembunyian maklumat dalam beberapa keputusan pelaburan terdahulu.
Laporan berkenaan turut menyenaraikan 14 entiti dan pelaburan bermasalah yang dicadangkan untuk menjalani audit forensik termasuk PT TH Indo Plantations, Emrail Sdn. Bhd., Wellspring Worldwide Limited, Deru Semangat Sdn. Bhd., Trurich Resources Sdn. Bhd. dan Abraj Sdn. Bhd.
Sehubungan itu, Muhyiddin menyuarakan kebimbangan apabila kerugian TH didakwa ditutup melalui amalan creative accounting (perakaunan kreatif) sehingga kerajaan pada ketika itu menegaskan institusi berkenaan mencatatkan keuntungan.
“Sedangkan hakikatnya, sebagaimana yang ditunjukkan dalam laporan RCI, TH rugi berbilion ringgit,” katanya.
Tambahnya, Ketua Audit Negara turut ditegur dalam laporan berkenaan kerana memberikan sijil audit bersih kepada TH.
Beliau pada masa sama berharap syor RCI supaya amalan melantik tokoh politik atau individu yang mempunyai kepentingan politik aktif ke dalam Lembaga Pengarah serta jawatan pengurusan tertinggi TH dihentikan.
Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan campur tangan politik dalam keputusan pelaburan dan pengurusan dana pendeposit.
“Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi TH termasuk anak-anak syarikat TH hendaklah berasaskan merit, integriti, kelayakan profesional, serta pengalaman luas dalam bidang kewangan, perbankan, pelaburan, undang-undang, dan syariah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Audit forensik TH mesti siap dalam tempoh setahun – Muhyiddin appeared first on Kosmo Digital.





