RCI Tabung Haji: Laksana audit forensik segera, laporan mesti siap dalam setahun – Muhyiddin

LocalPolitics
11 Aug 2026 • 3:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RCI Tabung Haji: Laksana audit forensik segera, laporan mesti siap dalam setahun – Muhyiddin
Muhyiddin

KUALA LUMPUR - Audit forensik secara menyeluruh dan berterusan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dilaksanakan segera serta disiapkan dalam tempoh setahun bagi menjejaki aliran dana dan mengenal pasti sebarang unsur penipuan, salah guna kuasa atau kecuaian.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN - Pagoh) berkata, langkah itu penting susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kelemahan tadbir urus dan ketirisan yang kompleks dalam pengurusan dana TH.

"Sesiapa sahaja yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian dana TH, sama ada melalui penipuan, salah guna kuasa atau kecuaian mesti dibawa ke muka pengadilan.

"Laporan ini tidak akan membawa sebarang makna sekiranya syor-syor RCI tidak dilaksanakan dan kerajaan mesti komited untuk melaksanakan setiap cadangan yang dikemukakan secara tegas dan berterusan," katanya ketika sesi perbahasan RCI TH di Dewan Rakyat, pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembangkang keluar dewan, protes sidang khas RCI Tabung Haji

Keluar Dewan: Pembangkang tidak serius isu RCI Tabung Haji – Zaliha

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Perdana Menteri menegaskan, amalan melantik tokoh politik atau individu yang mempunyai kepentingan politik aktif dalam Lembaga Pengarah mahupun jawatan pengurusan tertinggi TH perlu dihentikan.

Ini kerana menurutnya, bagi mengelakkan campur tangan politik dalam keputusan pelaburan dan pengurusan dana pendeposit.

Beliau menegaskan, sebarang pelantikan melibatkan jawatan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi termasuk anak-anak syarikat perlu berasaskan merit, integriti, kelayakan profesional serta pengalaman luas dalam bidang kewangan, perbankan, pelaburan, undang-undang dan syariah.

"Ujian 'fit and proper person' hendaklah dilaksanakan dengan menggunakan kriteria penapisan ketat mengikut piawaian kawal selia seperti yang terkandung dalam garis panduan Bank Negara Malaysia sebelum mana-mana individu dilantik.

"Syarat ini penting untuk memastikan individu yang dilantik bebas daripada sebarang konflik kepentingan, isu integriti atau tekanan politik luar.

"Selain itu, Jawatankuasa Pelaburan Tabung Haji juga hendaklah bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana arahan luar yang boleh meragut kepentingan kewangan pendeposit," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved