
KUALA LUMPUR: Audit forensik perlu diteruskan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH), susulan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang mendedahkan penyelewengan besar-besaran.
Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berkata, audit forensik yang menyeluruh dan berterusan diperlukan kerana terdapat kelemahan tadbir urus serta ketirisan yang amat kompleks dalam pengurusan dana TH.
Beliau mempersoalkan bagaimana kecuaian atau penipuan laporan kewangan TH boleh dibiarkan berlaku dan perlu dielakkan pada masa depan demi menjamin ketulusan pengurusan dana awam di negara ini.
“Ia perlu disiapkan dalam tempoh setahun, audit forensik bebas amat penting untuk menjejaki aliran dana, mengenal pasti unsur penipuan dan salah guna kuasa serta kecuaian yang mungkin telah berlaku.
“Siapa sahaja yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian dana TH, sama ada melalui penipuan, salah guna kuasa ataupun kecuaian, mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu turut menggesa amalan melantik ahli politik atau individu yang mempunyai kepentingan politik aktif ke dalam lembaga pengarah dan jawatan pengurusan tertinggi TH dihentikan dengan serta merta.
“Ini bagi mengelakkan campur tangan politik dalam keputusan pelaburan dan pengurusan dana pendeposit.
“Pelantikan ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi TH termasuk anak-anak syarikat institusi itu hendaklah berasaskan merit, integriti, kelayakan profesional dan pengalaman yang luas dalam bidang kewangan, perbankan, pelaburan, undang-undang serta syariah,” katanya.-UTUSAN
The post Muhyiddin gesa audit forensik Tabung Haji appeared first on Utusan Malaysia.






