Audit JAN bantu kerajaan kutip hasil RM920 juta

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 2:10 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Audit JAN bantu kerajaan kutip hasil RM920 juta

KUALA LUMPUR – Tindakan susulan audit oleh Jabatan Audit Negara (JAN) telah menyumbang kepada kutipan hasil dan bayaran balik kepada kerajaan berjumlah RM920.91 juta setakat 28 Sept lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata angka itu menunjukkan keberkesanan audit apabila dapatan yang dikenal pasti disusuli dengan tindakan sewajarnya.

“Ini bukan angka kecil. Ia membuktikan audit yang disusuli tindakan boleh menghasilkan pemulihan wang awam yang nyata,” katanya ketika membentangkan usul berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Azalina berkata semua kementerian, jabatan dan agensi tidak seharusnya melihat teguran audit sebagai serangan, sebaliknya sebagai peluang untuk membetulkan kelemahan, memperbaiki sistem dan melindungi wang rakyat.

Beliau berkata LKAN 2/2026 yang dibentangkan pada 5 Okt mengandungi dua naskhah utama melibatkan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025 serta pengauditan prestasi terhadap empat program atau aktiviti kementerian, jabatan dan agensi.

Azalina berkata sebanyak 38 syor dikemukakan menerusi laporan itu dengan tindakan susulan perlu menjawab persoalan mengenai pihak bertanggungjawab, langkah pembetulan, tempoh penyelesaian dan kaedah pemantauan kemajuan.

Justeru, beliau berkata perbahasan LKAN di Dewan Rakyat penting bagi memastikan akauntabiliti tidak terhenti selepas sesuatu laporan audit dibentangkan.

“Audit mesti membawa kepada tindakan. Teguran mesti membawa kepada pembetulan. Kelemahan mesti membawa kepada penambahbaikan,” katanya.

Beliau turut menyeru Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya memberikan ruang kepada LKAN untuk diteliti dan dibahaskan secara terbuka, bukan sekadar dibentangkan untuk makluman bagi memastikan prinsip akauntabiliti diterapkan di setiap peringkat kerajaan.

Pada masa sama, Azalina berkata pindaan Akta Audit 1957 pada 2024 turut memperkukuh institusi Ketua Audit Negara antaranya melalui peluasan skop pengauditan, pendekatan follow the public money audit, kuasa mengeluarkan garis panduan pengauditan dan melaksanakan audit susulan.

Beliau berkata inisiatif reformasi institusi termasuk kebebasan maklumat, reformasi pendanaan politik dan penubuhan Ombudsman Malaysia pula melengkapi fungsi audit dengan memberi penekanan kepada pencegahan, ketelusan dan akauntabiliti sejak dari awal. – Bernama

The post Audit JAN bantu kerajaan kutip hasil RM920 juta appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved