
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah dimaklumkan mengenai perincian prosedur operasi standard (SOP) bagi proses menjalani hukuman tahanan rumah.
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman berkata, makluman perincian itu sudah dimaklumkan secara lanjut oleh Jabatan Penjara Malaysia.
“Details (perincian) itu, Jabatan Penjara sudah maklumkan kepada Datuk Seri Najib,” jawabnya ringkas semasa sidang akhbar di Parlimen, hari ini.
Sidang akhbar itu turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Bagaimanapun, Zamri tidak memperincikan dengan lebih lanjut mengenai SOP yang dimaksudkan.
Pada 19 September lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, Jabatan Penjara dijangka mengeluarkan SOP bagi pelaksanaan tahanan rumah bekas Ahli Parlimen Pekan itu dalam masa terdekat.
Beliau berkata, SOP berkenaan akan memperincikan aspek lawatan, kawalan serta pemantauan pergerakan Najib.-UTUSAN
The post Najib sudah dimaklum SOP tahanan rumah appeared first on Utusan Malaysia.






