Krisis adat: Empat Undang tarik semakan kehakiman

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 1:37 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Krisis adat: Empat Undang tarik semakan kehakiman

SEREMBAN: Undang Yang Empat hari ini memutuskan untuk menarik balik permohonan perintah mandamus terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan supaya menandatangani satu dokumen pengisytiharan menurut Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Dokumen tersebut ialah Proklamasi Penurunan Takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Prosiding permohonan tersebut sepatutnya didengar di hadapan Hakim Norliza Othman di Mahkamah Tinggi Bahagian Kuasa-Kuasa Khas I di Kuala Lumpur pagi ini.

Peguam bagi pihak Undang Yang Empat, Emirul Sarifudin Nor Azmi berkata, pihak plaintif telah memutuskan untuk menarik semula permohonan itu kerana Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim telah sempurna menandatangani Proklamasi Penurunan Takhta Tuanku Muhriz pada 3 Ogos lalu.

“Maka permohonan mandamus sudah tiada keperluan dan menjadi akademik kerana tuntutan telah dipenuhi. Proklamasi penurunan takhta itu juga telah sempurna dan diiktiraf oleh kerajaan negeri melalui keputusan kolektif Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 15 September lalu,” katanya di sini hari ini.

Pada 10 Ogos lalu, Undang Yang Empat memohon perintah mandamus daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengarahkan Menteri Besar menandatangani dokumen perisytiharan penurunan takhta tersebut menurut Perkara 10(2) UUTKNS 1959 dalam tempoh tujuh hari daripada perintah mahkamah.

Mereka turut memohon satu deklarasi bahawa dokumen perisytiharan itu adalah sah menurut Perkara 10(1)(b) dan 10(2) UUTKNS 1959.

Mereka terdiri daripada Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin.

Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan mendakwa Mubarak, Maarof dan Abdul Rahim tidak lagi menyandang jawatan masing-masing.

Emirul Sarifudin menambah, pemakluman rasmi mengenainya juga telah dibuat oleh kerajaan negeri melalui surat Menteri Besar kepada Majlis Raja-Raja pada 21 September lalu.-UTUSAN

 

 

The post Krisis adat: Empat Undang tarik semakan kehakiman appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved