AUKU dihapuskan beri ruang mahasiswa bersuara bebas

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 7:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: AUKU dihapuskan beri ruang mahasiswa bersuara bebas
Anwar hadir pada Program Sesi Temu Anwar sempena Ambang Merdeka Sahabat MADANI di Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun, pada Jumaat. Foto Bernama

BUKIT MERTAJAM - Keputusan kerajaan menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) (AUKU) di universiti bertujuan memberi ruang kepada golongan muda untuk bersuara dan mengemukakan pandangan secara bebas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mahasiswa berusia 18 tahun sudah dianggap matang kerana mereka mempunyai hak mengundi dan sewajarnya diberi ruang untuk berdialog serta berfikir secara kritis.

“Kalau dia memberikan pandangan, dengar. Mungkin pandangannya salah tetapi kita bincang dan kita didik dia dengan kasih sayang. Ini anak-anak kita.

“Sebab itu saya menghapuskan akta universiti yang berkuat kuasa pagi tadi untuk memberikan ruang kepada anak-anak bercakap secara bebas,” katanya ketika menjawab soalan salah seorang pelajar pada Sesi Temu Anwar Sempena Ambang Merdeka Sahabat Madani di Institut Pendidikan Guru Kampus Tunku Bainun di sini pada Jumaat.

Anwar menambah, kerajaan mahu melahirkan generasi yang mempunyai daya cipta, kreativiti, penilaian dan pandangan kritis bukannya hanya mengikut sentimen.

Katanya, pemimpin politik juga perlu mendidik rakyat berdasarkan fakta dan ilmu bukan memainkan sentimen perkauman.

“Pimpinan politik harus mendidik berdasarkan fakta dan ilmu, bukan berdasarkan sentimen. Pergi kepada orang Melayu, hasut orang Melayu benci India. Pergi kepada orang India, hasut India benci Cina. Kita tidak akan ke mana.

“Kita perlu ada 'courage of conviction' iaitu ketegasan dan keberanian dengan keyakinan,” tambahnya lagi.

Menurut Anwar, negara memerlukan lebih ramai pemimpin yang pintar, mempunyai hati nurani serta jiwa untuk berkhidmat dengan ikhlas dan berlandaskan ilmu.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menegaskan bahawa tindakan terhadap salah guna kuasa dan rasuah bukan dibuat atas kepentingan politik atau dendam peribadi.

“Saya tidak katakan saya tidak ada musuh politik dan orang yang menyerang saya. Tetapi apabila saya ambil tindakan tegas terhadap salah guna kuasa, ramai yang menyerang saya dan mengatakan ia dendam.

“Apa yang dendam? Bukan saya yang putuskan. Yang menyiasat ialah SPRM dan Polis Diraja Malaysia. Yang menentukan untuk mendakwa atau tidak ialah Jabatan Peguam Negara. Yang menjatuhkan hukuman ialah hakim.

“Perdana Menteri tidak ada kuasa untuk menghukum orang. Tetapi Perdana Menteri ada kuasa memastikan institusi berjalan mengikut aturan.

“Wang berbilion-bilion itu adalah hak rakyat. Sebab itu saya mahu berjimat, bukan untuk saya,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved