Politik medan khidmat, bukan kejar kekayaan- Anwar

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 6:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Politik medan khidmat, bukan kejar kekayaan- Anwar
Anwar menyampaikan ucapan pada Program Sesi Temu Anwar Sempena Ambang Merdeka Sahabat Madani di Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam hari ini. Foto: Bernama

BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan politik perlu dijadikan medan untuk berkhidmat kepada rakyat bukannya ruang mengejar kekayaan atau kepentingan peribadi.

Menurut beliau, seseorang yang mahu menceburi politik perlu memiliki ilmu, keberanian, integriti serta keikhlasan untuk membela nasib rakyat.

“Kenapa kamu mahu masuk politik? Kamu perlu berkhidmat kepada rakyat. Kamu berkhidmat kepada rakyat dengan kecerdikan, ilmu dan membaca keadaan negara termasuk menentang rasuah serta salah guna kuasa.

“Politik adalah satu profesion yang mulia jika kamu menjadikannya mulia. Ia menjadi kotor dan korup jika kamu dipengaruhi mereka yang terang-terangan melakukan rasuah,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan salah seorang pelajar pada Sesi Temu Anwar Sempena Ambang Merdeka Sahabat Madani di Institut Pendidikan Guru Kampus Tunku Bainun, di sini pada Jumaat.

Beliau menambah, Malaysia merupakan sebuah negara yang aman dan hebat namun masih berdepan masalah serius berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

Menurutnya, isu kehilangan berbilion ringgit akibat penyelewengan membuktikan kesan besar yang terpaksa ditanggung rakyat.

“Kita bercakap mengenai institusi untuk melindungi jemaah haji tetapi akibat salah guna kuasa dan rasuah, negara kehilangan berbilion ringgit.

“Cuba bayangkan kalau wang itu diberikan kepada sekolah-sekolah menengah atau biasiswa untuk anak-anak yang kadang-kadang susah untuk makan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau tidak mahu generasi muda dididik dengan budaya mempertahankan individu yang melakukan rasuah atau salah guna kuasa.

Katanya, golongan muda perlu diterapkan dengan nilai ilmu, kecintaan terhadap pembelajaran serta integriti.

“Bagaimana kita mahu tanamkan kepada anak-anak muda nilai ilmu, kecintaan kepada pembelajaran dan pengetahuan serta nilai integriti jika ada ahli politik mempertahankan orang yang rasuah?

“Bagi saya, ia sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, beliau memilih untuk tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri sebagai satu contoh bahawa jawatan kepimpinan tidak semestinya bertujuan mengumpul kekayaan.

“Saya bukan miskin. Kereta kerajaan disediakan, kapal terbang kerajaan disediakan, elaun makan kerajaan disediakan. Jadi gaji tidak perlulah diambil.

“Gunakan gaji itu untuk membantu rakyat. Saya mahu tunjukkan kepada semua bahawa tidak semua orang yang mahu menjadi pemimpin mahu menjadi kaya,” katanya.

Anwar kemudian menasihatkan golongan muda yang berminat menceburi politik supaya melakukannya atas dasar kecintaan terhadap negara dan keinginan membina masa depan lebih baik.

“Kalau kamu bercakap tentang masyarakat, komuniti dan negara, pastikan kamu masuk politik dan bekerja kerana kamu mencintai negara ini serta percaya kepada masa depannya,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved