AUKU: Mansuh atau tambah baik?

LocalPolitics
22 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AUKU: Mansuh atau tambah baik?

Pengumuman kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) ibarat membuka satu pintu yang sudah lama dinanti mahasiswa.

Namun, apabila pintu itu dibuka, persoalannya bukan lagi sekadar siapa boleh keluar masuk, tetapi bagaimana kebebasan itu digunakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan AUKU akan dimansuhkan sepenuhnya bagi memberikan ruang demokrasi dan kebebasan lebih luas kepada gerakan mahasiswa.

Kerajaan juga memberi jaminan tiada undang-undang baharu yang bersifat mengongkong mahasiswa akan diperkenalkan.

Pengumuman itu tentunya mengundang pelbagai reaksi. Ada yang menyifatkannya sebagai langkah berani ke arah reformasi pendidikan tinggi, manakala ada yang mengingatkan kebebasan tanpa panduan boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan.

Universiti bukan sekadar tempat mengejar ijazah. Ia sepatutnya menjadi ruang mahasiswa belajar berfikir, bertanya, berbeza pendapat dan, paling penting, berani mencabar sesuatu pandangan dengan hujah.

Jika AUKU benar-benar dimansuhkan, hak mahasiswa perlu dijamin melalui peraturan yang jelas dan adil. Antaranya kebebasan bersuara, kebebasan berpersatuan, hak berpolitik serta perlindungan daripada tindakan tatatertib yang dibuat hanya kerana perbezaan pandangan.

Perlu ada mekanisme semak dan imbang yang benar-benar bebas. Cadangan seperti tribunal mahasiswa atau ombudsman pengajian tinggi boleh dipertimbangkan bagi memastikan pertikaian dapat diselesaikan secara telus.

Namun, kebebasan juga datang bersama tanggungjawab. Mahasiswa perlu memahami bebas bersuara tidak bermakna bebas memfitnah, mengugut, menghasut atau melanggar undang-undang.

Jika AUKU akhirnya tidak dimansuhkan sepenuhnya, akta itu pula perlu ditambah baik secara serius. Bahagian yang dilihat menyekat kebebasan akademik dan mahasiswa wajar dikaji semula, sementara kuasa universiti perlu lebih berasaskan autonomi dan tadbir urus yang telus.

Kampus yang sihat bukan kampus tanpa suara. Kampus yang sihat ialah kampus yang mempunyai banyak suara, tetapi semuanya tahu bagaimana untuk bersuara dengan ilmu, fakta dan tanggungjawab.

Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.

The post AUKU: Mansuh atau tambah baik? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved