
KEPALA BATAS : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memastikan bahawa kerangka perundangan pendidikan tinggi diteliti secara menyeluruh dan tidak tertumpu kepada kepentingan mahasiswa semata-mata sebelum akta baharu digubal bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, hal ini demikian kerana, hanya tujuh daripada keseluruhan 44 seksyen yang terkandung dalam AUKU sebelum ini berkaitan dengan mahasiswa manakala selebihnya merangkumi hal-hal lain seperti berkaitan urus tadbir, akademik dan sebagainya.
“Jadi, kita kena lihat keseluruhannya juga. Umpamanya, apakah kekangan kepada golongan akademik dan akta-akta yang berkaitan dengannya? Bukan hanya itu, tetapi juga akta-akta lain yang berkaitan sistem pendidikan.
“Ada Akta Pelajaran 1996 (Akta 550), Akta 555 (berkaitan institusi pengajian tinggi swasta), Akta 605 (berkaitan badan berkanun khususnya di universiti awam) dan macam-macam.
“Maka, sebab itulah saya harap semua rakyat kita faham bahawa apabila ia (AUKU) tidak ada, maknanya, kita kena ambil (kira) semua aspek perubahan yang akan kita lakukan,” katanya pemberita selepas merasmikan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) di Bertam di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, KPT menganggap semua pandangan yang dikemukakan berhubung perkara itu penting kerana akta baharu yang akan dikemukakan nanti bakal menjadi akta utama dalam sistem pendidikan tinggi yang pastinya akan memberi kesan kepada ekosistem pendidikan tinggi negara.
“Jadi, masing-masing akan memberi pandangan. Sebab itu, sebuah jawatankuasa telah pun diumumkan dan dibentuk. Itu satu jawatankuasa yang bebas. Bukan soal kerajaan ingin atau mahu begini.
“Maka, sebab itulah dalam konteks akta seperti ini, kita perlu mendapat pandangan semua. Tidak semestinya pandangan yang kita mahu sahaja, tidak. Sebab itu jugalah pendirian kita dan saya tekankan bahawa setiap apa yang kita buat, kita perlu mendengar (pandangan) semua,” katanya.
Untuk rekod, AUKU sudah tujuh kali dipinda sejak ia diperkenalkan pada 1971 dengan pindaan pada 2012 membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus.
Selain pindaan pada 2012, AUKU juga dipinda pada 1971, 1975, 1983, 1996 dan 2009.
Sementara itu, pindaan terbaru pada 2024 pula menyaksikan tindakan tatatertib ke atas pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk di bawah kuasa Naib Canselor, sebaliknya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar iaitu menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.-UTUSAN
The post Kerangka pendidikan tinggi diteliti sebelum akta baharu diperkenal ganti AUKU appeared first on Utusan Malaysia.






