
Kerajaan komited mansuhkan AUKU 1971 dengan RUU baharu dijangka dibentang tahun ini, memberi lebih ruang kepada mahasiswa bersuara dan bergerak bebas
KLANG: Kerajaan komited untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, dengan rang undang-undang (RUU) baharu yang menggantikannya dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu telah disuarakan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam bagi membolehkan peruntukan berkaitan tatacara pengurusan universiti dan kawalan terhadap mahasiswa diteliti semula secara menyeluruh.
“Semalam, dalam mesyuarat saya katakan batalkan keseluruhannya yang ada berhubung tatacara pengurusan universiti, autonomi universiti, kuasa dekan, kuasa senat, kuasa Board of Studies.
“Jangan ganggu mahasiswa… apakah saya yakin anak-anak mahasiswa tidak akan melakukan kesilapan? Saya percaya… apakah tak boleh dikawal? Jadi, saya masih percaya dan insya-Allah, tahun ini juga kita akan membentangkan rang undang-undang itu dan meluluskannya di Parlimen,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Anak Muda (HAMKA) Antarabangsa 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata pindaan berkenaan perlu memberi ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk bersuara dan bergerak tanpa dikawal dengan undang-undang yang berlebihan.






