
SEBERANG PERAI – Kerangka perundangan baharu yang bakal menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu mengambil kira keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi, termasuk kebebasan akademik, tadbir urus dan perjalanan institusi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, penelitian terhadap AUKU tidak boleh hanya tertumpu kepada tujuh daripada 44 seksyen yang berkaitan mahasiswa kerana akta berkenaan turut merangkumi pelbagai aspek lain dalam pengurusan universiti.
“Jangan tengok hanya yang berkaitan dengan soal mahasiswa. Tengok juga dari segi akademik, ahli-ahli akademik, kebebasan mereka, hak-hak mereka, kekangan-kekangan yang mereka hadapi.
“Jadi kita nak ubah semua, kita nak melihat semua. Bila disebut tentang perubahan itu, saya tekankan, yang dimaksudkan keseluruhannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi Universiti Sains Malaysia (USM) di Bertam, di sini, hari ini.
Zambry berkata, AUKU ketika ini mempunyai 44 seksyen merangkumi aspek penubuhan universiti, urus tadbir, kedudukan akademik, ahli akademik, pentadbiran dan mahasiswa.
Katanya, langkah menyeluruh itu penting bagi memastikan akta baharu yang bakal diperkenalkan tidak hanya menyelesaikan isu semasa, sebaliknya mampu menjadi asas kepada sistem pendidikan tinggi negara untuk jangka panjang. – KOSMO! ONLINE
The post AUKU bukan sekadar soal mahasiswa – Zambry appeared first on Kosmo Digital.






