AUKU perlu diganti perundangan lebih komprehensif

LocalPolitics
17 Aug 2026 • 2:14 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AUKU perlu diganti perundangan lebih komprehensif

PETALING JAYA: Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu diganti dengan perundangan baharu yang lebih baik dan komprehensif supaya dapat memperkemas pengurusan institusi pengajian tinggi.

Pengerusi Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, cadangan pemansuhan AUKU memerlukan perbincangan serius dan teliti sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurutnya, kebebasan mahasiswa perlu terus diperluaskan namun isu tersebut tidak semestinya berpunca daripada kelemahan AUKU semata-mata.

“AUKU telah beberapa kali dipinda termasuk pada tahun 2012 bagi memberi ruang lebih luas kepada mahasiswa menyertai kegiatan politik.

“Contohnya, pada tahun 2012, iaitu semasa saya menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Pada masa itu, saya dapat meyakinkan kerajaan agar Seksyen 15 yang menyekat kebebasan mahasiswa dipinda.

“Dengan pindaan itu, mahasiswa diizinkan menyertai politik termasuk bertanding dalam pilihan raya umum dan hasilnya pindaan itu turut membuka peluang kepada mahasiswa Universiti Malaya (UM), P. Prabakaran untuk bertanding di Parlimen Batu dan memenangi kerusi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin yang merupakan Ahli Parlimen Indera Mahkota juga berkata, terdapat pengurusan sesetengah universiti bersifat drakonian atau mengenakan kawalan keterlaluan yang menyalahgunakan AUKU bagi membendung kebebasan mahasiswa.

Katanya, masalah pengurusan universiti perlu diperbetulkan manakala ruang kebebasan mahasiswa pula boleh diperbaiki melalui pindaan perundangan berkaitan.

“AUKU merupakan akta induk yang menguruskan penubuhan dan pentadbiran universiti serta kolej universiti bukan sekadar mengawal disiplin mahasiswa.

“Jika AUKU dimansuhkan, ia perlu ada penggantinya. Sebab itu, dalam Cadangan Reformasi Pendidikan PN (diterbit 21 September 2024) daripada aspek perundangan dan governans, kami mencadangkan supaya ‘menggantikan AUKU dengan perundangan baharu yang lebih baik dan komprehensif’.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Parlimen tentang Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia (JKPK), saya telah mendapat kesefahaman ahli-ahli JKPK supaya mengundang Menteri Pendidikan Tinggi ke mesyuarat kami untuk membincangkan perkara ini dengan mendalam,” katanya. – UTUSAN

The post AUKU perlu diganti perundangan lebih komprehensif appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved