
KUANTAN: Kerangka baharu perundangan pendidikan tinggi yang lebih komprehensif perlu diwujudkan bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), 1971 sekali gus memastikan sistem pendidikan tinggi negara lebih bersepadu, dinamik dan berdaya saing.
Langkah itu bukan sahaja menepati aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 melalui agenda One Higher Education Act malah menjadi asas penting dalam memperkukuh tadbir urus universiti, kebebasan akademik dan autonomi mahasiswa.
Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Dr. Yatimah Alias berkata, AUKU bukan semata-mata berkaitan hal ehwal atau kebebasan mahasiswa sebaliknya menjadi antara asas penting kepada penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti serta kolej universiti.
Katanya justeru pemansuhannya perlu disusuli dengan kerangka perundangan baharu yang jelas, menyeluruh dan mampu mendepani keperluan pendidikan tinggi masa kini serta masa hadapan.
“Seperti dinyatakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, pembentukan kerangka baharu dilaksanakan secara inklusif dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kepemimpinan universiti, ahli akademik, institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, industri, penyedia Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), pakar perundangan serta mahasiswa.
“UMPSA menyambut baik cadangan ini dan bersedia menyumbang kepakaran terhadap usaha KPT dalam membangunkan kerangka demi memajukan ekosistem pendidikan tinggi negara,” katanya di sini.-UTUSAN.
The post Perundangan baharu lebih komprehensif perlu untuk ganti AUKU appeared first on Utusan Malaysia.






