Siswa mahu kerangka tatakelola baharu, elak tadbir urus terjejas

LocalPolitics
17 Aug 2026 • 8:02 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Siswa mahu kerangka tatakelola baharu, elak tadbir urus terjejas

PETALING JAYA: Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu disusuli kerangka tatakelola baharu bagi memastikan kebebasan kepada mahasiswa tidak menjejaskan akauntabiliti dan tadbir urus universiti.

Rata-rata golongan mahasiswa menyambut baik pemansuhan akta itu namun pada masa sama bimbang kebebasan tanpa kawal selia yang jelas boleh menggugat keharmonian kampus.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Muhammad Irfan Firdaus Md Fauzi berkata, kerangka itu bukan bertujuan mengembalikan sekatan terhadap mahasiswa, sebaliknya menjadi panduan dalam menguruskan autonomi yang diberikan.

Katanya, autonomi lebih luas perlu diurus secara matang khususnya dalam memastikan kete­lusan pengurusan kewangan mahasiswa serta mengelakkan kampus daripada dieksploitasi oleh kepentingan politik luar.

“Walaupun MPPK mengambil maklum akan jaminan Perdana Menteri berhubung kebebasan mahasiswa, pendirian kami adalah tegas bahawa kebebasan tanpa akauntabiliti berisiko menjejaskan keharmonian dan tadbir urus universiti.

“Kerangka yang kami tuntut ini bukan bertujuan untuk kembali mengongkong pergerakan mahasiswa sebaliknya berfungsi sebagai panduan.

“Ia ibarat mahasiswa diberikan sebuah kereta berkuasa tinggi di lebuh raya. Kelajuan dan kuasa enjin itu mewakili kebebasan yang diraikan namun sehebat mana pun sesebuah kereta, ia tetap memerlukan stereng kawalan yang stabil dan sistem brek yang cemerlang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim me­ngumumkan tiada pindaan terhadap AUKU 1971 atau digantikan dengan undang-undang baharu.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Ahmad Izzat Shamsuddin berkata, mekanisme baharu selepas pemansuhan AUKU masih diperlukan bagi menyediakan punca kuasa yang jelas dalam menguruskan perkara berkaitan pentadbiran universiti dan mahasiswa.

Menurutnya, ketiadaan punca kuasa yang jelas juga boleh menyukarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil tindakan sekiranya berlaku isu melibatkan hukuman tatatertib yang dikenakan universiti terhadap seseorang pelajar.

“Kalau kita lihat Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, Renjakan 5 menyentuh berkaitan aspek tadbir urus termasuk cada­ngan untuk menyatukan 11 akta berkaitan universiti kepada satu akta yang lebih inklusif dan menyeluruh.

“Jadi, persoalannya adalah sama ada pengumuman Perdana Menteri mengenai pemansuhan AUKU ini seiring dengan perancangan yang telah digariskan oleh KPT menerusi RPTM 2026-2035.

“Jika perkara ini tidak diperincikan, ia boleh menyebabkan kekeliruan dan keadaan yang tidak teratur dalam pentadbiran. Kita mungkin melihat urus tadbir universiti menjadi terumbang-ambing,” katanya.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Luqman Nurhakim Zulikhsyam pula berkata, mahasiswa sendiri perlu dilibatkan dalam pembentukan sebarang kerangka selepas pemansuhan AUKU.

Katanya, sistem yang diwujudkan perlu mempunyai semak dan imbang yang jelas, telus serta inklusif supaya kebebasan mahasiswa dapat dipelihara bersama prinsip kebertanggungjawaban.

“Pada pandangan saya, kerangka masih diperlukan, namun bukan untuk mengongkong mahasiswa, sebaliknya membina sistem semak dan imbang yang jelas, telus dan inklusif.

“Senang cerita, kami ambil maklum pengumuman pemansuhan AUKU. Kami memerlukan akta yang baharu yang lebih segar bukan AUKU yang ditukar nama,” katanya.-UTUSAN.

The post Siswa mahu kerangka tatakelola baharu, elak tadbir urus terjejas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved