Autisme bukan halangan, Nur Syahirah raih 10A SPM 2025

LocalFamily & Parenting
31 Mar 2026 • 3:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nur Syahirah Syazwani (kiri) menunjukkan keputusan SPM 2025 yang diperolehinya.
image is not available
Siti Norina (tiga dari kanan) bertemu dengan Nur Syahirah Syazwani (dua dari kiri) untuk mengucapkan tahniah.  
image is not available
Nur Syahirah Syazwani dipeluk ibunya, Maznah (kanan) dan bapanya, Zailani (kiri). 

KOTA BHARU - Disahkan menghidap autisme pada usia 16 tahun, gadis ini bagaimanapun berjaya meraih kejayaan luar biasa dengan mencatat keputusan cemerlang 10A dan 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Nur Syahirah Syazwani Zailani, 18, didiagnosis autisme oleh pakar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas menunjukkan simptom tekanan emosi dan kesukaran bergaul.

Secara zahir, gadis ini kelihatan seperti remaja normal namun perjalanan akademiknya penuh cabaran lebih-lebih lagi dia mengambil aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat itu, dia sendiri tidak menyangka mampu mencapai keputusan sedemikian memandangkan pencapaian dalam peperiksaan percubaan sebelum ini sekadar mencatat 7A, 1B dan 3C.

“Selepas percubaan tu, saya sebenarnya menyasarkan 8A sahaja.

“Jadi terkejut sangat apabila dapat keputusan 10A,” katanya ketika ditemui di SMKA Naim Lilbanat di sini pada Selasa.

**media[3477381]**

Dalam keputusan SPM itu, Nur Syahirah Syazwani memperoleh A+ bagi Matematik; A bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Bahasa Arab, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah; A- bagi Kimia, Fizik dan Biologi; manakala B bagi Matematik Tambahan.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu memilih untuk mengulang kaji pelajaran di rumah bagi mengelakkan tekanan sosial, selain memberi tumpuan sepenuhnya ketika sesi pembelajaran di dalam kelas.

Dia turut mengikuti tuisyen dalam talian, kelas tambahan di sekolah, selain memperuntukkan tiga hingga empat jam sehari untuk ulang kaji.

Selain itu, amalan rohani memainkan peranan penting dalam kejayaannya.

“Saya selalu membaca al-Quran, terutamanya Surah al-Mulk, al-Kahfi dan Yasin untuk menenangkan diri sebelum belajar dan meningkatkan fokus.

“Pesan saya kepada adik-adik lain yang nak berjaya, tumpu pelajaran awal-awal, jangan belajar saat akhir kerana nanti akan stres,” katanya.

Sementara itu, ibu Nur Syahirah Syazwani, Maznah Kadir, 51, berkata, pengalaman membesarkan anak istimewa penuh cabaran.

“Kadang-kadang dia enggan ke sekolah dan memberontak tanpa tahu punca.

“Kami tak pernah paksa dia belajar kerana tidak mahu menambah beban tetapi pencapaian dia ini sangat mengharukan saya,” ujar suri rumah itu.

**media[3477382]**

Suaminya, Zailani Zakaria, 57, yang bekerja sebagai peniaga insurans turut bersama-sama menyokong, memahami dan memantau perkembangan anak mereka.

Nur Syahirah Syazwani bercita-cita melanjutkan pengajian dalam Asasi Sains di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan mengimpikan kerjaya dalam bidang teknologi maklumat.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad turut hadir beramah mesra dengan Nur Syahirah Syazwani serta pelajar lain di sekolah tersebut.

“Pencapaian pelajar ini membuktikan bahawa dengan sokongan keluarga, disiplin, amalan rohani dan keyakinan diri walaupun menghidap autisme tetap mampu mencapai kecemerlangan setara rakan sebaya lain,” ujar beliau.