sarah30/10/2026 - 14:44 Gambar laman web tripadvisor Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt - Avillion Bhd (Avillion) mempertikaikan tuntutan pihak ketiga membabitkan cadangan potongan berjumlah 9 bilion rupiah Indonesia (RM2.01 juta) daripada prinsipal pinjaman berkaitan hartanah Villa Cinta di Bali, Indonesia, susulan pertikaian mengenai pajakan dan penggunaan hartanah berkenaan.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, anak syarikatnya, PT Avillion Indonesia (PTAI), menerima surat bertarikh 13 Oktober 2026 daripada peguam yang mewakili Shirley Winarso berhubung beberapa urusan kontrak dan komersial melibatkan Villa Cinta.
Pihak yang membuat tuntutan mendakwa memiliki tanah yang menempatkan Villa Cinta dan menyatakan bahawa tempoh pajakan PTAI telah tamat pada 15 Januari 2026 tanpa pembaharuan.
Pertikaian itu melibatkan dakwaan sewa tertunggak, penggunaan hartanah selepas tamat tempoh pajakan serta kewajipan lain yang dikaitkan dengan penggunaan Villa Cinta.
Daripada jumlah 9 bilion rupiah itu, kira-kira 4.89 bilion rupiah (RM1.09 juta) merupakan tuntutan sementara bagi sewa tertunggak, penggunaan hartanah melebihi tempoh pajakan, pembaikan dan kos berkaitan.
Baki 4.11 bilion rupiah (RM918,000) pula merupakan cadangan diskaun terhadap pembayaran balik pinjaman oleh pihak yang membuat tuntutan, dengan kedua-dua komponen dicadangkan sebagai potongan daripada prinsipal pinjaman tertunggak.
Avillion berkata, PTAI telah menjawab surat peguam pihak berkenaan pada 29 Oktober 2026 bagi mempertikaikan dakwaan dan tuntutan tersebut, selain mengekalkan semua haknya.
Nasihat Undang-Undang
Syarikat itu kini mendapatkan nasihat undang-undang dan meneliti perkara berkenaan, namun mengesahkan bahawa tiada prosiding mahkamah dimulakan terhadap Avillion atau PTAI setakat tarikh pengumuman.
Villa Cinta, yang merupakan sebahagian daripada aset hospitaliti Avillion di Indonesia, mempunyai nilai buku bersih kira-kira RM11.2 juta setakat 31 Mac 2026.
Menurut Avillion, kesan kewangan pertikaian itu belum dapat ditentukan dengan pasti, namun lembaga pengarah berpandangan perkara tersebut tidak memberi kesan material terhadap kewangan dan operasi kumpulan berdasarkan maklumat semasa.
Sementara itu, seperti dilaporkan sebelum ini, kerugian bersih Avillion meningkat kepada RM14.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 berbanding RM8.8 juta sebelumnya.
Manakala hasil susut kepada RM55.2 juta daripada RM58.5 juta. Saham syarikat itu turut merosot 14.29% kepada tiga sen pada rehat tengah hari Jumaat, menjadikan nilai pasarannya RM37.18 juta.- DagangNews.com


