Sarawak peruntuk RM10 juta bangunkan hab timbang tara antarabangsa, perkukuh keyakinan pelabur

LocalBusiness & Finance
19 Oct 2026 • 3:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sarawak peruntuk RM10 juta bangunkan hab timbang tara antarabangsa, perkukuh keyakinan pelabur Image from: Sarawak peruntuk RM10 juta bangunkan hab timbang tara antarabangsa, perkukuh keyakinan pelabur sarah19/10/2026 - 15:48 Foto Kredit Tripadvisor, Unit Komunikasi Awam Sarawak Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Okt - Sarawak bakal menjadi hab penyelesaian pertikaian perdagangan antarabangsa apabila Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) membuka cawangan pertamanya di luar Kuala Lumpur, dengan peruntukan RM10 juta bagi menaik taraf bangunan Muzium Tekstil Sarawak.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penubuhan hab itu dijangka meningkatkan keyakinan pelabur asing dan syarikat multinasional terhadap perlindungan undang-undang bagi kepentingan perniagaan mereka, khususnya dalam menangani pertikaian perdagangan dan komersial.

 

Menurut Azalina, kewujudan platform penyelesaian pertikaian yang cekap dan pantas merupakan antara elemen penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa.

 

“Selain membawa pertikaian ke mahkamah, pelabur juga perlu mempunyai keyakinan bahawa terdapat platform yang mampu mengendalikan pertikaian antarabangsa secara cekap dan pantas,” katanya seperti dilaporkan The Star selepas majlis pemeteraian perjanjian antara kerajaan Sarawak dan AIAC di Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak.

 

Majlis pertukaran perjanjian itu disaksikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg dan Azalina, membabitkan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Ketua Pegawai Eksekutif AIAC, Datuk Danesh Chandran.

 

aza

 

Azalina berkata, cawangan AIAC Sarawak dijadualkan mula dilaksanakan pada 2027 dengan pelantikan beberapa anggota utama, manakala bangunan Muzium Tekstil Sarawak yang terletak di kawasan warisan telah dikenal pasti sebagai lokasi hab berkenaan.

 

Beliau berkata, pemilihan bangunan bersejarah itu turut membawa mesej bahawa Malaysia bukan sahaja mempunyai piawaian antarabangsa dalam sektor kewangan, pelaburan dan perniagaan petroleum, malah dalam bidang penyelesaian pertikaian.

 

“Sarawak bukan sekadar akan mempunyai sebuah cawangan AIAC, sebaliknya hab utama yang mampu menarik peguam antarabangsa dan firma guaman untuk menyelesaikan pertikaian di negeri ini,” katanya sambil menyifatkan Sarawak sebagai lokasi strategik berikutan perkembangan pesat aktiviti perdagangan antarabangsanya.

 

Sementara itu, AIAC dalam kenyataan berkata, penubuhan cawangan tersebut bertujuan memperkukuh daya tarikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan dengan memastikan pertikaian komersial dapat diselesaikan secara berkesan, selain membangunkan ekosistem penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) di Sarawak dan Borneo.

 

Menurut AIAC, hab berkenaan juga disasarkan menjadi pemangkin kerjasama ADR, membuka peluang pekerjaan, membangunkan bakat melalui latihan dan peningkatan keupayaan serta memperkasakan komuniti tempatan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved