hamden28/09/2026 - 18:29 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept - AWC Group Bhd menerusi anak syarikat milik tidak langsung milik penuhnya, Stream Industries Sdn Bhd (STREAM), memperoleh dua kontrak bernilai keseluruhan RM13.1 juta daripada Gujarat International Finance Tec-City Company Limited bagi kerja sambungan Sistem Penyejukan Air Berpusat (AWCS) di GIFT City, Gandhinagar, Gujarat, India.
AWC dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata kedua-dua perjanjian itu dimeterai pada 28 September 2026, dengan nilai keseluruhan INR30.85 crore, bersamaan kira-kira RM13.1 juta berdasarkan kadar pertukaran yang diterbitkan Bank Negara Malaysia pada 12 tengah hari pada tarikh berkenaan.
Daripada jumlah itu, kontrak bagi kawasan Domestic Tariff Area (DTA) bernilai INR19.824 juta termasuk GST yang terpakai, bersamaan kira-kira RM8.44 juta.
Sementara itu, kontrak bagi kawasan Special Economic Zone (SEZ) bernilai INR11,02,60,000 tidak termasuk GST dan layak sebagai bekalan berkadar sifar di bawah Akta/Peraturan SEZ, bersamaan kira-kira RM4.69 juta.
Kedua-dua kontrak melibatkan sambungan AWCS ke pembangunan akan datang di kawasan DTA dan SEZ di GIFT City, masing-masing untuk tempoh 36 bulan dari tarikh Notis untuk Memulakan Kerja atau tarikh seperti yang dinyatakan dalam notis tersebut.
AWC berkata kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Bagaimanapun, kontrak tersebut tidak dijangka memberi kesan material terhadap tahap keberhutangan AWC Group.
Dalam pada itu, STREAM kini dalam proses menubuhkan operasi perniagaan serta entiti perundangan di India.
Menurut AWC, STREAM bercadang memindahkan kedua-dua perjanjian itu kepada entiti India yang baru diperbadankan menerusi Surat Ikatan Novasi yang akan dimeterai antara Gujarat International Finance Tec-City Company Limited, STREAM dan entiti berkenaan.
Selepas proses novasi selesai, entiti India tersebut akan mengambil alih serta melaksanakan hak, obligasi dan tanggungjawab STREAM di bawah perjanjian berkenaan, termasuk menjalankan kerja-kerja yang ditetapkan mengikut terma dan syarat kontrak.
AWC berkata Kumpulan tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi biasa berkaitan pemasangan pembinaan dan kejuruteraan, turun naik harga bahan, kadar pertukaran mata wang serta pematuhan kawal selia di bidang kuasa asing. - DagangNews.com





