Inta Bina raih kontrak RM221 juta bina pangsapuri dan pejabat di Klang

25 Sep 2026 • 8:58 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Inta Bina raih kontrak RM221 juta bina pangsapuri dan pejabat di Klang Image from: Inta Bina raih kontrak RM221 juta bina pangsapuri dan pejabat di Klang liza25/09/2026 - 08:58 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Sept – Inta Bina Group Bhd memperoleh kontrak bernilai RM221.08 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan utama projek pembangunan pangsapuri dan pejabat di Klang, Selangor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata kontrak itu dianugerahkan oleh Prisma Melody Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Mitraland Holding (M) Sdn Bhd yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan Mitraland.

 

“Projek berkenaan adalah fasa keempat pembangunan Gravit8 (Novva), yang merangkumi sebuah menara pangsapuri servis setinggi 39 tingkat dengan 654 unit serta sebuah menara pejabat 20 tingkat.

 

“Kerja pembinaan dijadualkan bermula pada 28 September 2026 dan dibahagikan kepada dua fasa.

 

“Fasa pertama projek itu disasarkan siap pada September 2028, manakala fasa kedua dijangka disiapkan pada Januari 2029,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Pengarah Urusan Inta Bina, Paul Lim berkata kontrak itu meneruskan hubungan jangka panjang syarikat dengan Mitraland dan menjadi projek keempat yang dilaksanakan sepanjang tempoh kerjasama selama 14 tahun.

 

Kontrak baharu tambah buku tempahan

Inta Bina berkata, projek tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat sepanjang tempoh kontrak.

 

Pembiayaan projek akan menggunakan dana dalaman serta pinjaman. Pada akhir Jun 2026, Inta Bina mempunyai tunai dan deposit jangka pendek berjumlah RM124.18 juta, berbanding pinjaman dan hutang sebanyak RM148.45 juta.

 

Dengan kontrak terbaharu itu, jumlah nilai buku tempahan Inta Bina meningkat kepada RM645 juta.

 

Selain itu, syarikat mempunyai nilai bidaan projek yang sedang diusahakan sebanyak RM3.6 bilion, meliputi projek kediaman, komersial dan pusat data.

 

Bulan lalu, Inta Bina turut memperoleh kontrak bernilai RM115.65 juta daripada anak syarikat Sime Darby Property Bhd bagi membina rumah di Setapak, Kuala Lumpur. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved